Sindiket curi bungkusan kurier tumpas
Afiezy Azaman
Januari 18, 2025 10:45 MYT
Januari 18, 2025 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket curi bungkusan oleh pekerja sebuah syarikat kurier selepas menahan tujuh individu termasuk seorang wanita dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 51 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri bungkusan daripada gudang syarikat kurier berkenaan.
"Pada 13 Januari, seorang pengurus keselamatan syarikat kurier membuat laporan polis selepas menerima aduan daripada pelanggan yang mendakwa menerima bungkusan kosong.
"Hasil siasatan dalaman mendapati beberapa pekerja syarikat telah membawa keluar bungkusan tanpa melalui prosedur daftar keluar barang, menyebabkan anggaran kerugian berjumlah RM21,818," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Mohd Azam berkata, polis melancarkan operasi bermula 13 Januari hingga 17 Januari lalu, yang membawa kepada penahanan kesemua suspek.
"Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang telah didakwa di Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri barang di tempat kerja.
"Sementara itu, tangkapan susulan membawa kepada permohonan reman selama empat hari bermula 17 hingga 20 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut," ujarnya.
Mohd Azam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun keseksaan.
"Polis mengingatkan majikan untuk sentiasa memantau pekerja dan memastikan prosedur keselamatan di tempat kerja dipatuhi bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
"Untuk sebarang maklumat berkaitan jenayah, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu menjaga keselamatan komuniti," katanya.