Sindiket beli ganja 100kg seminggu dari Thailand tumpas
Madiha Abdullah
April 24, 2024 20:43 MYT
April 24, 2024 20:43 MYT
KUALA LUMPUR: Satu sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan selepas polis merampas ganja bernilai hampir RM300,000 dalam enam serbuan berasingan di Cheras.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata serbuan itu dilakukan oleh bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Cheras antara 18 April dan 23 April.
"Sindiket yang aktif sejak dua tahun lalu itu dikesan membuat pesanan ganja berharga antara RM800 hingga RM1,000, dan ia diseludup masuk ke negara ini dari Thailand dengan menggunakan perkhidmatan kurier.
"Susulan maklumat yang diterima daripada orang ramai, sebuah pejabat syarikat kurier, beberapa buah unit kondominium, dan sebuah rumah di sekitar Cheras dan Pandan Indah diserbu.
"Dalam serbuan itu, lapan individu warga tempatan termasuk dua wanita ditahan, manakala ganja seberat 94.8kg dianggarkan bernilai RM293,830 dirampas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, pada Rabu.
Dalam pada itu kata Rusdi, sindiket itu akan memesan sehingga 100kg ganja seminggu dengan membayar pembekal mereka antara RM800 hingga RM1,000 sekilogram.
“Mereka akan menghubungi pembekal mereka serta pelanggan melalui Telegram.
"Mereka kemudiannya akan mengedarkannya ke seluruh negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier," ujarnya.
Rusdi berkata sindiket itu juga memproses ganja berkenaan menjadi ketulan brownie yang dijual pada harga RM50 setiap satu, selain turut diletakkan dalam bungkusan makanan arnab bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Tambahnya, beberapa barangan termasuk telefon bimbit, motosikal, tiga kad akses, wang tunai RM34,000, dua bungkusan makanan arnab dan penimbang elektronik turut dirampas.
Jelasnya, lima suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 April, manakala tiga lagi suspek terpaksa dibebaskan kerana polis tidak berjaya membuat permohonan reman ke atas mereka.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.