Sindiket beli diesel di stesen minyak sekitar Pulau Pinang tumpas

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 17, 2022 12:15 MYT
Anggota KPDNHEP ketika lakukan serbuan. - Foto KPDNHEP
NIBONG TEBAL: Kegiatan sindiket membeli minyak diesel di beberapa stesen minyak di sekitar Pulau Pinang terbongkar selepas diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ketika serbuan jam 7 pagi Selasa, sindiket berkenaan sedang leka memindahkan minyak diesel yang telah dibeli dari lori 'bonded' 7 tan ke lori tangki.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan berkata, dua lelaki warga tempatan yang juga pemandu bagi kedua-dua lori terbabit ditahan.
“Terdapat sebuah tangki berkapasiti 17,000 liter (l) di atas lori tangki, manakala terdapat enam tangki fiber yang diubahsuai dengan setiap satu berkapasiti 1,000 liter di atas lori 'bonded'.
“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 16,000 liter minyak diesel berada di dalam tangki lori tangki dan kira-kira 1,200 liter lagi ditemui bersama lori 'bonded',” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
A. Mogan berkata, pihaknya turut menyita lori berkenaan bersama sebuah mesin motor pam dan dua unit hos paip yang keseluruhannya bernilai RM148,800.
Katanya siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit dipercayai telah membuat pembelian minyak diesel di beberapa stesen minyak di negeri ini sebelum dipindahkan dari lori 'bonded' ke lori tangki.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama, RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya bagi pertubuhan serta perbadanan.
#KPDNHEP #diesel #A Mogan #lori tangki
;