Sindiket bekal tenaga kerja, PLKS palsu didalangi warga Bangladesh tumpas

Bernama
Januari 27, 2023 21:57 MYT
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam satu sidang media hari ini berkata sindiket berkenaan telah beroperasi selama lapan bulan dan mengaut keuntungan kira-kira RM880,000. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket membekal tenaga kerja warga asing dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, yang didalangi dua warga Bangladesh dalam empat serbuan di Klang semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam satu sidang media di sini hari ini berkata sindiket berkenaan telah beroperasi selama lapan bulan dan mengaut keuntungan kira-kira RM880,000.
"Sindiket terbabit menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai PLKS yang sah atau sebarang dokumen perjalanan untuk dibekalkan kepada syarikat atau majikan yang terdesak memerlukan tenaga kerja warga asing," katanya.
Beliau berkata sindiket berkenaan mengenakan caj antara RM5,000 dan RM6,000 kepada setiap warga asing bagi mendapatkan pelekat PLKS.
Dalam serbuan semalam, enam lelaki termasuk lima warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan yang berkahwin dengan salah seorang warga Bangladesh terlibat, ditahan.
IMIGRESEN-SINDIKET 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Menurut Khairul Dzaimee, pasangan terbabit menubuhkan syarikat pembinaan bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap kegiatan mereka membekalkan tenaga kerja asing kepada syarikat dan majikan yang terdesak.
Antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah 62 pasport pelbagai negara, 17 pasport Bangladesh palsu, 13 PLKS palsu, wang tunai sebanyak RM234,000 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut disita.
Khairul Dzaimee berkata kesemua individu terbabit disiasat di bawah Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya manakala dua warga tempatan pula sedang menjalani siasatan, katanya.
-- BERNAMA
#sindiket #PLKS palsu #Pas Lawatan Kerja Sementara #warga Bangladesh
;