Sindiket bawa masuk warga asing: Penguat kuasa di KLIA terima sehingga RM2,500

Ridauddin Daud
Ogos 22, 2024 18:55 MYT
Menurut sumber, risikan dijalankan mendapati bayaran rasuah kepada penguat kuasa yang menjadi tali barut sindiket ini berbeza mengikut kewarganegaraan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Segelintir penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 dipercayai menerima antara RM500 hingga RM2,500 daripada sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi laluan 'kaunter khas'.
Menurut sumber, risikan dijalankan mendapati bayaran rasuah kepada penguat kuasa yang menjadi tali barut sindiket ini berbeza mengikut kewarganegaraan.
"Bayaran rasuah ini paling rendah sekitar RM500 bagi warga Uzbekistan dan paling tinggi RM2,500 bagi warga Bangladesh serta membabitkan bayaran berbeza bagi kumpulan warga asing daripada beberapa negara lain seperti Indonesia, China, Vietnam, Pakistan, India, Myanmar selain Yaman.
“Selain itu, bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket berkenaan turut menggunakan beberapa kod nama khas seperti School Boy, Salak, Limau, Laici, Karpet, Kicap, Roti Canai, Junta dan Ayam yang merujuk kepada kewarganegaraan kumpulan warga asing yang akan masuk ke negara ini bagi urusan di laluan kaunter khas yang telah diatur," katanya.
Tambah sumber, mereka turut menggunakan kod sulit iaitu 'lembu' yang merujuk kepada pembayaran wang rasuah yang diterima daripada sindiket manakala kod nama 'durian' yang merujuk kepada upah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 yang akan bertindak melepaskan kumpulan warga asing berkenaan.
"Menerusi modus operandi ini, pegawai penguat kuasa di kedua-dua terminal berkenaan akan menerima senarai nama serta gambar pasport kumpulan warga asing yang akan tiba ke negara ini menerusi aplikasi WhatsApp daripada sindiket.
"Sebaik kumpulan warga asing itu tiba, meraka akan diarahkan untuk pergi ke kaunter tertentu bagi tujuan pelepasan masuk dan diberikan cop menetap selama 30 hari atau cop terbuka untuk menetap selama tujuh hari.
"Selepas itu, kumpulan warga asing berkenaan akan dibenarkan keluar dan akan diambil oleh ejen daripada kumpulan sindiket berkenaan untuk dibawa menggunakan kenderaan ke destinasi masing-masing," katanya.
Menurut sumber, sebaik urusan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan selesai, sindiket akan membuat bayaran wang rasuah secara tunai atau pindahan ke dalam akaun perbankan penguat kuasa terlibat atau ke akaun milik proksi atau syarikat tertentu dalam tempoh satu hingga dua hari.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan operasi sedang dijalankan di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 berhubung isu kemasukan warga asing menerusi modus operandi kaunter khas atau 'counter setting' serta tidak menolak kemungkinan akan membat lebih banyak tangkapan.
"SPRM sedang mengesan pegawai-pegawai penguat kuasa lain yang terlibat dan dijangka akan ramai lagi akan dipanggil utk membantu siasatan. Namun, warga asing yang mendapat layanan melalui modus operandi ini telah pun lesap dan sukar untuk dikeşan.
“Inilah yang menyebabkan penambahan lambakan pekerja tiada permit di negara ini. Mereka bukan datang untuk melawat tetapi untuk mencari pekerjaan tanpa melalui proses mendapatkan permit yang sewajarnya,” katanya.
#Sindiket bawa masuk warga asing #KLIA #jabatan imigresen #SPRM