Sindiket along terima arahan dari luar negara tumpas
Adie Sufian Zulkefli
Jun 2, 2020 12:05 MYT
Jun 2, 2020 12:05 MYT
Walaupun banyak amaran serta tindakan diambil polis, sindiket along masih berani bertindak agresif termasuk membakar rumah dan menyimbah cat di kediaman peminjam.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, berkata terbaharu, rumah seorang peminjam di sebuah taman perumahan di Kulim dilontar bom botol atau molotov cocktail, pertengahan Mei lalu.
Katanya, dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, kumpulan suspek membaling bom itu sehingga menyebabkan bilik di belakang rumah serta sebuah van milik mangsa terbakar.
Mangsa yang juga kontraktor berusia 36 tahun kemudian membuat laporan sebelum polis menyiasat dan memburu semua suspek serta menahan mereka dalam beberapa siri tangkapan sehingga 31 Mei lalu.
"Polis menahan tiga lelaki dan seorang perempuan yang dipercayai terlibat dalam kes itu. Mereka dipercayai menerima arahan daripada seorang lelaki lain yang berada di negara jiran," katanya di sini pada Selasa.
Jelas Sapii polis menemui tong cat, minyak petrol, senjata dan beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan khianat kepada peminjam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 kanun keseksaan.
#along
#bakar rumah
#bom botol
#bom petro
#Kedah
#molotov cocktail
#rumah
#simbah cat
#sindiket
#terbakar
#tumpas
#van