Sindiket aktiviti dalam talian: Lagi warga China diberkas
Abd Razak Mohd Ali
Disember 12, 2019 22:31 MYT
Disember 12, 2019 22:31 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket aktiviti dalam talian yang melibatkan warga China dengan penahanan 65 orang, termasuk empat wanita, dalam operasi terbaharu di Ipoh pada Rabu.
Kesemua mereka yang berumur antara 17 hingga 55 tahun ditahan dalam serbuan di dua buah rumah berkembar tiga tingkat di Gerbang Maju Rapat dalam operasi dua jam bermula 3.30 petang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 35 orang diberkas di rumah pertama manakala di rumah kedua 30 orang.
Menurutnya, operasi itu adalah susulan dari operasi yang dijalankan di Jalan Tun Dr Ismail, Ipoh, tiga hari lalu yang berjaya memberkas 40 warga China.
"Semasa serbuan dibuat ke atas kedua-dua premis ini, Jabatan Imigresen telah merampas sebanyak 232 unit telefon bimbit, 45 komputer riba, 26 monitor komputer, 4 unit pemprosesan pusat (CPU), 1 mesin terminal kad kredit, 24 buah modem internet, 193 kad SIM baharu, 140 keping kad ATM dari pelbagai bank dari negara China, 7 keping kad kredit bank-bank dari negara China dan 47 kad pengenalan warga negara China," ujar Khairul Dzaimee.
Beliau ditemui pada sidang media khas di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ipoh pada Khamis.
Berdasarkan penemuan resit pembelian barangan dapur dari dua pasar raya di Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen tidak menolak kemungkinan mereka adalah saki baki mereka yang berjaya meloloskan diri dari operasi di Cyberjaya pada 20 November lalu.
Siasatan awal mendapati kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa.
Menurut Khairul, setakat ini, opetasi seumpama itu berjaya menahan 941 warga China, termasuk 680 di Cyberjaya, Sabah (105), Sarawak (52) dan Ipoh (105).
#jabatan imigresen
#JIM
#Kementerian Dalam Negeri
#pihak berkuasa
#sindiket dalam talian
#warga china