Sinar Harian komited mahu banteras rasuah, tubuhkan Sinar Rasuah Busters

Sinar Harian
Januari 16, 2021 13:01 MYT
Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, pasukan itu akan memberi fokus sepenuhnya untuk membanteras rasuah.
SHAH ALAM: Demi membanteras gejala rasuah yang masih belum berkesudahan, Sinar Harian mengambil inisiatif menubuhkan Sinar Rasuah Busters yang akan melibatkan sebahagian staf syarikat akhbar itu.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pasukan itu akan memberi fokus sepenuhnya untuk membanteras rasuah.
Pada masa sama, beliau turut mengajak semua rakyat Malaysia sama-sama menjadi rasuah busters, melaporkan setiap rasuah dikesan agar orang takut untuk memberi atau mengambil rasuah.
“Kita mahu bawa kehidupan dan harapan baharu untuk rakyat Malaysia. Kita mahu bawa integriti kerana segelintir orang sudah tidak percaya dengan kerajaan, polis, Imigresen, jabatan agama dan sebagainya.
“Oleh itu, kita mahu pulihkan sebab tenaga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis tidak cukup. Rakyat kena jadi ‘polis tambahan’ dengan batas yang terhad, kena sentiasa hormati dan mengikut garisan undang-undang yang betul.
“Kita mahu mencipta sikap keprihatinan dan pencegahan. Ingin ditegaskan, kita bukan mahu mengambil alih tugas SPRM tetapi membantu membanteras dan menghapuskan rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah beliau, pihaknya mahu membanteras jenayah rasuah bermula dari bawah sebab ia sudah berakar umbi dan sudah menjadi sebahagian dalam ekosistem masyarakat.
“Ini sebuah gerakan daripada rakyat untuk basmi rasuah demi rakyat. Rasuah sudah banyak menyusahkan kita, barang jadi mahal dan sebagainya.
“Kita mahu semua mengambil peranan menjadi mata dan telinga untuk basmi serta hapuskan rasuah. Kita ajak semua orang ramai berkempen untuk hapuskan rasuah.
“Tanggungajwab ini bukan daripada SPRM sahaja. Setiap individu bertanggungjawab untuk bersama-sama perangi aktiviti tidak bermoral ini,” ujarnya.
Katanya lagi, buat masa ini, pasukan khas itu melibatkan kakitangan Sinar Harian dan selepas itu akan dibuka kepada orang awam secara keseluruhannya.
“Kita mahu ‘peperangan’ menentang rasuah sebab sudah berpuluh tahun ia berlaku namun rasuah semakin teruk.
“Jadi saya merasakan sudah tiba masanya Sinar Harian melibatkan orang ramai untuk membantu membanteras rasuah,” katanya.
#Sinar Harian #rasuah busters #GERAKAN #rakyat #banteras #banteras rasuah #SPRM #polis #jenayah #Rasuah #kerajaan #rakyat Malaysia #integriti #undang-undang
;