'Sinar baharu' tangani kesesakan penjara

Bernama
Mac 22, 2023 11:20 MYT
Malaysia buat masa ini mempunyai sebanyak 39 penjara dengan jumlah tahanan 74,459 pesalah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu kesesakan di penjara yang dilaporkan meruncing di Malaysia turut dihadapi banyak negara di dunia yang majoriti banduannya dikatakan terlibat dengan jenayah dadah.
Negara Portugal misalnya, sebelum tahun 2000, pernah direkodkan mempunyai jumlah penagih tertinggi di dunia, bagaimanapun semakin berkurangan apabila negara berkenaan melaksanakan konsep 'nyah jenayah' dengan merawat melalui perubatan berbanding hukuman dalam penjara.
Begitu juga Belanda yang turut melaksanakan konsep seakan sama dalam menangani isu kesesakan di penjara sehingga berjaya mengurangkan sebanyak 70 peratus banduan, membuktikan pendekatan berkenaan adalah langkah terbaik merawat mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta kesalahan kecil berkaitan dadah.
Justeru, banyak pihak khususnya pakar dalam rawatan pemulihan dadah melihat cadangan kerajaan menggubal baharu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi membolehkan penagih mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan dalam komuniti berbanding ketika ini dihukum di dalam penjara atas kesalahan, adalah langkah tepat.
Akta baharu itu dijangka dibentangkan tahun ini (2023), melibatkan penagih dadah yang didapati bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perlu melalui hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun.
PERLU DISEGERAKAN
Mengulas mengenai isu berbangkit, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, walaupun negara agak terlambat dalam menggubal akta baharu yang seakan sama seperti Portugal dan Belanda itu, namun ia dijangka dapat memberi kesan lebih efektif dalam merawat masalah penagihan dadah di Malaysia.
"Secara umum, dunia berhadapan masalah kesesakan banduan sebanyak 70 peratus melibatkan penagih dan penjual dadah kecil-kecilan. Mereka ini perlu diberikan rawatan kerana kebanyakan mereka adalah pesakit dan bukannya berbentuk hukuman seperti dalam penjara.
"Kerana itu pelaksanaan akta baharu ini sangat dialu-alukan kerana tiga negara seperti Portugal, Sweden dan Belanda bukan sahaja dapat menyelesaikan isu kesesakan dalam penjara tetapi dapat mengurangkan masalah penagih berulang ," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Malaysia buat masa ini mempunyai sebanyak 39 penjara dengan jumlah tahanan 74,459 pesalah sedangkan keupayaan penjara negara hanya mampu memuatkan sekitar 65,000 banduan sahaja. Angka berkenaan sudah jelas menunjukkan bahawa terdapat lebihan banduan di dalam penjara di negara ini.
Menurut Dr Rusdi, pendekatan 'nyah jenayah' dalam menangani isu penagihan dadah di Malaysia ada dilaksanakan sebelum ini bagi merawat penagih opiat dengan kaedah dadah gantian Metadon atau dikenali sebagai MAT (Medication Assisted Treatment).
Selepas lebih 18 tahun dilaksanakan, konsep berkenaan dilaporkan berjaya menangani penagihan dadah opiat yang membolehkan penagih bekerja serta menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
"Kebanyakan penagih dadah merupakan penagih dadah sintetik yang mengandungi 100 peratus bahan kimia. Penagih jenis ini biasanya tidak berani untuk mendapatkan rawatan kerana boleh disabitkan kesalahan serta dihukum penjara berbanding penagih dadah opiat.
"Jika akta baharu ini dilaksanakan, penagih dadah sintetik seperti syabu, ecstacy, pil kuda, akan berani tampil untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan kendalian AADK," katanya.
Di sebalik kerajaan membelanjakan sebanyak RM500 juta setahun bagi menangani isu dadah sama ada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan penjara seluruh negara, masalah dadah masih terus membelenggu negara.
Oleh yang demikian, kata Dr Rusdi, akta baharu itu wajar segera dilaksanakan di Malaysia, memandangkan konsep 'nyah rawatan' terbukti keberkesanannya setelah dilaksanakan di beberapa buah negara Eropah.
"Penggubalan akta ini sebagai permulaan kepada proses nyah jenayah kesalahan mengambil dadah dan rawatan dalam komuniti perlu diutamakan serta diperluaskan kerana terbukti lebih kos effektif dan lebih berkesan.
"Ia mampu mengurangkan stigma masyarakat dan mengajak lebih ramai penagih mendapatkan rawatan secara sukarela. Pemerkasaan masyarakat dalam memartabatkan penagih dalam rawatan melalui pendekatan rawatan dalam komuniti mengikut pendekatan perubatan dan kemanusian dapat dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia selaras dengan Slogan Malaysia Madani, " tambahnya.
Bagaimanapun, bagi memastikan akta berkenaan lebih berkesan, beliau berkata , AADK dan Puspen perlu diperkasakan dengan meningkatkan jumlah doktor yang terlatih dalam merawat golongan tersebut.
"Ketika ini, di AADK hanya ada seorang doktor dan pembantu perubatan dan ia tidak mencukupi...sebaiknya, ia ditambah lagi bagi meningkatkan fasiliti rawatan dadah di pusat tersebut apabila akta ini dilaksanakan," tambahnya.
MAMPU ATASI STIGMA?
Selain mengatasi kesesakan di dalam penjara, akta baharu ini juga dilihat mampu mengurangkan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan banduan selain masalah tekanan dan kemurungan yang merisikokan potensi bunuh diri.
Berdasarkan satu kajian yang dijalankan Universiti Malaya di salah sebuah penjara di negara ini dan diterbitkan pada tahun 2014, didapati berlaku penularan jangkitan penyakit Tuberkulosis atau tibi yang agak tinggi dalam kalangan banduan.
Menurut Dr Rusdi, ini sudah tentu satu kerugian apabila hasil cukai rakyat digunakan untuk makanan pesalah di penjara disebabkan pemulihan yang tidak berkesan, katanya.
Beliau berkata, ketagihan dadah adalah penyakit otak kronik yang mudah berulang dan berpanjangan dan kerana itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilibatkan secara serius dalam merawat penagih dadah sepertimana kejayaan rawatan metadon yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai amalan terbaik di Asia.
Dengan pelaksanaan akta tersebut juga ia dapat mengubah persepsi masyarakat yang ketika ini melihat golongan pesalah dadah ini sebagai penjenayah, dan menjadi punca utama mereka kembali ke kancah penagihan walhal sokongan komuniti, keluarga amat diperlukan mereka kembali dalam masyarakat.
"Kesan pelaksanaan akta baharu ini kepada penagih sangat besar kerana apabila mereka dianggap banduan, masyarakat sukar menerima dan mereka akan mula memberontak.
"Tahap ini dipanggil 'memberontak' apabila mereka merasakan tidak guna berbuat baik kerana masyarakat tetap menganggap mereka penjenayah," katanya yang juga pakar psikiatri di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC).
PERLU DIPERINCIKAN
Bagi pengamal undang-undang, Muhamad Razman Sahat, biarpun akta baharu itu wajar, namun ia harus diperincikan serta diperhaluskan, khususnya yang melibatkan pesalah lama serta berulang.
"Untuk pesalah kali pertama, tindakan di bawah akta ini langkah amat baik dan sangat membantu dalam proses rawatan dan pemulihan tertuduh. Tetapi saya percaya di bawah akta ini, haruslah diperincikan dan diperhaluskan lagi khususnya pesalah lama dan berulang.
"Pada masa ini, untuk kesalahan berulang, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya dan sekiranya bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara minimum tujuh (7) tahun dan maksimum tiga belas (13) tahun serta dengan sebatan tidak kurang 3 kali dan tidak lebih 6 kali sebatan. Sekiranya kerajaan berniat untuk membuat mengurangkan kapasiti dalam tahanan, seksyen ini juga perlu diambil kira," kata peguam itu.
Ditanya adakah kes pesalah ringan melibatkan dadah akan bertambah apabila mereka tidak lagi menjalani hukuman di penjara, Muhamad Razman berkata, sekiranya hukuman yang diberikan tidak mengandungi klausa pemenjaraan, dikhuatiri mereka akan menganggap apa yang mereka lakukan itu satu kesalahan ringan.
Bagi kesan akta baharu itu terhadap pengulangan kes jenayah, Muhamad Razman berkata, pengamatannya mendapati, ada kes yang berulang dan ada juga yang benar-benar insaf dan memulakan kehidupan baharu.
"Sebelum ini, mengikut Seksyen 15(1) ADB, terdapat hukuman berbentuk rawatan dan pemulihan. Sebab itu hukuman berbentuk kaedah rawatan seperti ini harus diperhalusi sebaik mungkin bagi membantu mengurangkan kes pengulangan yang melibatkan kesalahan dadah.
"Memasukkan barang terlarang ke dalam badan bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi juga keluarga serta komuniti. Sekiranya perkara ini tidak dibendung secara baik dan menyeluruh, ia akan memberi impak negatif kepada masyarakat dan komuniti," katanya.
Mengulas kejayaan Portugal mengurangkan kes dadah secara pendekatan nyah jenayah dan wajarkah Malaysia mencontohi negara itu, beliau berkata cadangan penggubalan akta baharu yang seakan dengan konsep berkenaan adalah satu tindakan positif menangani polemik berkenaan.
"Malaysia sebuah negara membangun. Perubahan dalam undang-undang adalah satu keperluan demi mengikut peredaran masa dan walaupun kita boleh merujuk kejayaan negara lain dalam melaksanakan nyah jenayah, tetapi ia haruslah mengikut kesesuaian negara ini," katanya
-- BERNAMA
#penjara #isu kesesakan #penagih #banduan
;