Operasi simulasi mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung Kinabalu merupakan satu tindakan proaktif Taman-Taman Sabah (TTS) bagi memperkukuhkan penyelarasan dan kecekapan menyelamat agensi yang terlibat sekiranya berlaku bencana seperti gempa bumi di Gunung Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata pelaksanaan simulasi itu sangat bertepatan untuk penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengurangkan 'masa respons' penyelamatan mangsa di gunung.

"Selain itu operasi simulasi ini juga akan memberikan keyakinan kepada para pendaki mengenai tahap keselamatan pendakian Gunung Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia yang selamat untuk didaki," katanya.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata demikian pada majlis penutupan operasi simulasi berkenaan di, Taman Kinabalu dekat sini, malam Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assafal P Alian.

Liew berkata operasi simulasi SAR itu adalah kali kedua diadakan selepas siri pertama pada 2016 dan selain penambahbaikan penyelamatan mangsa di Laluan Ranau, simulasi penyelamatan juga melibatkan penyelamatan mangsa di kawasan Via-Ferrate serta penggunaan laluan Laluan Kota Belud sebagai alternatif penyelamatan sekiranya laluan asal (Laluan Ranau) terputus.

"Saya percaya dengan kejayaan operasi simulasi SAR ini, tahap kesiapsiagaan dan pengetahuan anggota SAR telah meningkat," tambahnya.

Operasi simulasi SAR itu melibatkan lebih 200 anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk bomba, polis, TTS, Persatuan Malim dan Poter Kinabalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Kesihatan Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

-- BERNAMA