Simulasi pertama program vaksinasi di Sarawak berjalan lancar - Uggah
Nuzuluddin Abdul Razak, Fadilah Sulaiman, Afiezul Samit
Februari 11, 2021 18:43 MYT
Februari 11, 2021 18:43 MYT
KUCHING: Simulasi pertama program vaksinasi di Kuching, Sarawak pada Khamis berjalan lancar dan tumpuannya kepada pergerakan klien serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Simulasi program pengambilan vaksin yang ditempatkan di Stadium Perpaduan, Kuching itu penting bagi menilai kekurangan dan menambah baik kelemahan.
Difahamkan, Stadium Perpaduan, Kuching itu merupakan lokasi pengambilan vaksin untuk sebahagian rakyat Sarawak apabila ianya tiba hujung bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program vaksinasi yang dilaksanakan dengan penuh teliti.
Kata Uggah Ia termasuk penyediaan fasiliti yang selesa dilengkapi kawasan menunggu yang luas untuk klien selepas menerima vaksin.
“Kita akan menyediakan fasiliti yang selesa bagi memudahkan urusan klien yang menerima vaksin ini.
“Jadi dalam menjayakan agenda ini, kita memerlukan ruang yang luas dengan fasiliti yang baik supaya ia mempercepatkan segala urusan berkaitan vaksinasi ini,” katanya.
Uggah berkata demikian semasa melakukan lawatan ke pusat vaksinasi Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching pada Khamis bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah JKNS, Dr Chin Zin Hing.
Tambah Uggah, pusat vaksinasi juga akan dibina di kawasan pedalaman di negeri itu bagi memudah dan mempercepatkan proses vaksinasi.
“Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar dan pelaksanaan ini akan lebih mencabar sekiranya tiada pusat vaksinasi disediakan di lokasi-lokasi yang terletak jauh di pedalaman.
“Untuk itu, JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak) telah membuat perancangan untuk membangunkan pusat vaksinasi di kawasan terlibat bagi mempermudahkan urusan ini,” tambahnya.
Tambah Uggah, maklumat lanjut mengenai jumlah pusat vaksinasi, dan kaedah pendaftaran akan diumumkan oleh Dr Chin Zin Hing pada 15 Februari ini.
#simulasi vaksin di Sarawak
#simulasi vaksinasi Kuching
#JPBN Sarawak
#COVID-19 di Sarawak
#pusat vaksinasi di Sarawak
#kawasan pedalaman Sarawak
#Douglas Uggah Embas