Simposium Haji Perdana ke-48 bincang fiqh isu asas agama Islam berkaitan haji
Bernama
Jun 11, 2024 10:30 MYT
Jun 11, 2024 10:30 MYT
MEKAH: Simposium Haji Perdana (Grand Hajj Symposium) ke-48' yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bermula hari ini antara lain membincangkan fiqh isu asas agama Islam berkaitan haji khususnya berhubung kemudahan untuk umatnya.
Bertemakan 'Observing The Religious Permissions and Adhering to the Established Regulations in Hajj Ritual', simposium yang diadakan di Makkah Chamber of Commerce di sini, dihadiri lebih 500 menteri agama, ulama dan pemikir dari 60 negara.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
"Matlamat utama simposium ini adalah untuk memberitahu menteri-menteri yang terlibat dalam negara masing-masing mengenai perkembangan serta usaha Kementerian Arab Saudi yang terbabit untuk memastikan kebajikan jemaah haji bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga seluruh dunia.
"Pada tahun ini perbincangan lebih berkisar tentang persoalan fatwa dan usul fiqh, sebab itu mereka menjemput Mufti Mesir, Dr Shawki Allam, Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Abdulaziz Al-Sudais," katanya kepada petugas media Malaysia semalam.
Mohd Na'im berkata, pihaknya akan melihat semua usul dan fatwa yang dibuat dalam simposium itu dan akan membincangkan perkara tersebut di peringkat Muzakarah Haji Kebangsaan dengan lebih teliti, sebelum melaksanakan mana-mana usaha yang difikirkan terbaik untuk jemaah haji Malaysia.
Simposium sehari itu menjadi platform utama untuk para intelektual dan agamawan dari seluruh negara bertukar pengetahuan selain memupuk pemahaman yang lebih mendalam serta meningkatkan penghayatan melibatkan dimensi spiritual, budaya dan sosial ibadah haji.
Selain itu, pertemuan itu juga diadakan bagi memaklumkan tentang pencapaian kerajaan Arab Saudi dalam menyantuni jemaah haji dengan projek-projek perintis serta perkembangan terkini di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Antara tajuk forum yang akan diadakan ialah 'Legal and Jurisprudential Dispensations in Hajj', 'The Jurisprudence of Dispensations and Its Impact on Facilitating the Hajj Ritual' dan 'Towards a Safe Hajj, Adhering to Guidelines and Regulations'.
Selepas menghadiri simpoium berkenaan, Mohd Na'im bersama rombongan pengurusan tertinggi TH turut melawat pameran yang diadakan oleh Kementerian Media Arab Saudi di Makkah Chamber for Exhibitions and Events Center. - BERNAMA