Simpanan RM184,999 lesap akibat percaya 'pegawai polis'
Bernama
November 17, 2019 10:05 MYT
November 17, 2019 10:05 MYT
Seorang penoreh getah mendakwa kerugian RM184,999 selepas mempercayai dakwaan 'pegawai tinggi Bukit Aman' untuk memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun yang tidak diketahuinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa suspek meminta dia berbuat demikian kononnya bagi tujuan siasatan kerana maklumat perbankan peribadinya telah disalah guna pihak ketiga.
Mangsa mendakwa dia pada mulanya dihubungi seorang lelaki mendakwa kakitangan bank pada Khamis lepas memaklumkan dirinya mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM7,000 menerusi kad yang didaftarkan di Kuala Lumpur.
"Panggilan itu dikatakan disambung ke pegawai polis Bukit Aman kerana memerlukan siasatan lanjut ekoran kad pengeluaran wang automatik (ATM) mangsa termasuk nombor CVC yang ada di belakang kad itu telah diketahui pihak ketiga.
"Mangsa mendakwa pegawai polis itu telah mengarahkannya untuk memindahkan semua wang simpanannya ke empat akaun berbeza yang diberikan suspek bagi memastikan wang itu tidak hilang dengan jaminan akan dipulangkan dalam tempoh tiga hari," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa yang bimbang wang simpanannya termasuk wang pusakanya hilang, telah mematuhi semua arahan diberikan suspek dan tidak membuat semakan dengan pihak bank kerana 'menunggu' tempoh masa yang diberikan.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak dapat menghubungi suspek selepas tiga hari menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada kes berasingan, seorang remaja lelaki dari Benta, Lipis mendakwa kerugian RM800 selepas diperdayakan dalam urusan pembelian tiket loteri di laman sosial, yang diiklankan pada 4 Nov lepas.
Mohd Wazir berkata mangsa, 19, mendakwa telah berurusan dengan suspek menerusi nombor WhatsApp yang tertera di iklan itu dan diminta membayar RM300 bagi mendapatkan tiket loteri yang dikatakan mudah menang.
"Suspek membuat bayaran itu pada 6 Nov lalu dan pada 8.30 malam hari sama, dia dimaklumkan nombor tiket loteri itu menang, namun disyaratkan perlu membayar RM500 sebelum dapat menuntut wang kemenangan.
"Bagaimanapun dia mendapati nombor telefonnya telah disekat daripada menghubungi suspek selepas selesai membuat pembayaran itu," katanya.
-- BERNAMA
#bank
#Bukit Aman
#IPD Bera
#jenayah
#kad ATM
#kad kredit
#Kanun Keseksaan
#laman sosial
#maklumat peribadi
#mangsa
#Mohd Wazir Mohd Yusof
#nombor CVC
#penoreh getah
#perbankan
#polis
#remaja
#siasatan
#suspek
#tiket loteri
#tunggakan
#wang simpanan