Simpanan KWSP, pampasan insurans lebih RM200,000 lesap terperdaya pelaburan tidak wujud

Bernama
Januari 5, 2024 17:22 MYT
Mangsa yang berusia 51 tahun mendakwa wang itu ialah dari simpanan KWSP dan pampasan insurans kematian suaminya.
KUANTAN: Wang simpanan seorang suri rumah berjumlah RM229,627 lesap selepas terperdaya untuk menyertai pelaburan tidak wujud yang diketahui menerusi aplikasi media sosial WeChat.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 51 tahun mendakwa wang itu ialah dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pampasan insurans kematian suaminya.
"Mangsa mendakwa tertarik untuk menyertai pelaburan itu sekitar April 2023 kerana menawarkan keuntungan dua kali ganda dan telah mendaftarkan diri menggunakan pautan diberikan suspek.
"Selain itu, mangsa juga berkongsi maklumat kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya dengan suspek atas alasan untuk tujuan pemindahan wang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Yahaya berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan menyebabkan dia membuat laporan di balai polis di Kuala Lipis, dekat sini semalam.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud terutamanya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh pendek dan sentiasa membuat semakan di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian.
-- BERNAMA
#sindiket penipuan #scam #pelabran tidak wujud #mangsa penipuan #polis
;