Simpanan air mentah Empangan Muda, Bukit Merah terus rekod paras bahaya

Bernama
Julai 17, 2024 03:25 MYT
Empangan Muda di Kedah menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah pada paras 15.20 peratus. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Empangan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya iaitu masing-masing 15.20 peratus dan 19.54 peratus, setakat 15 Julai.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan, lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus.
Memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi itu memaklumkan lima empangan berkenaan ialah Empangan Malut dan Empangan Pedu di Kedah, masing-masing sebanyak 37.10 peratus dan 48.10 peratus; Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam, Pulau Pinang masing-masing sebanyak 35 peratus dan 51.30 peratus serta Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan 42.60 peratus.
Rekod bagi bacaan paras bahaya adalah baki storan 29.99 peratus dan ke bawah, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal).
Berkaitan status pencemaran udara bagi tempoh 10 hingga 16 Julai, NADMA yang memetik Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Tanjung Malim, Perak dan Kampung Raja Besut, Terengganu merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu masing-masing dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) 137 dan 156.
Berhubung pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas, NADMA yang memetik Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 109 kes setakat semalam berbanding 108 kes yang dilaporkan pada 9 Julai lepas dengan 25 kes diagnosis strok haba, kelesuan haba (77 kes) dan tujuh kes kejang haba.
NADMA memaklumkan daripada jumlah itu, Kedah menjadi negeri tertinggi iaitu sebanyak 19 kes, diikuti Terengganu (17), Johor dan Pahang, masing-masing 14, Perak (11), Negeri Sembilan (sembilan), Selangor (lapan), Sabah (tujuh), Kelantan (empat), Kuala Lumpur (tiga), Perlis (dua) dan satu kes di Pulau Pinang.
Pecahan kes mengikut umur pula melibatkan sebanyak 84 individu dewasa, 20 remaja, tiga kanak-kanak dan dua warga emas manakala kes kematian akibat strok haba kekal lima, setakat ini.
-- BERNAMA
#air mentah #paras bahaya #Empangan Muda #Empangan Bukit Merah