Simpanan air mentah Empangan Muda, Bukit Merah di paras bahaya - NADMA

Bernama
Julai 9, 2024 21:15 MYT
Empangan Muda di Kedah menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Empangan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan penyusutan baki simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya iaitu masing-masing 18.37 peratus dan 19.97 peratus.

Ringkasan AI
  • Empangan Muda di Kedah dan Empangan Bukit Merah di Perak berada pada paras bahaya dengan baki simpanan air masing-masing 18.37% dan 19.97%, manakala lima empangan lain berada pada paras amaran di bawah 59.99%.
  • Kes berkaitan cuaca panas meningkat kepada 108 kes dengan Kedah mencatatkan kes tertinggi sebanyak 19 kes; terdapat 25 kes strok haba, 76 kes kelesuan haba, dan tujuh kes kejang haba.
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi tumpuan kepada lebih 652 kawasan titik panas kebakaran di seluruh negara, dengan Selangor, Johor, dan Sarawak mencatatkan insiden kebakaran tertinggi.

Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus.
Memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi itu berkata lima empangan tersebut ialah
Empangan Malut dan Empangan Pedu di Kedah, masing-masing sebanyak 36.10 peratus dan 50.50 peratus; Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam, Pulau Pinang masing-masing sebanyak 37 peratus dan 56.70 peratus serta Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan 42.60 peratus.
Rekod bagi bacaan paras bahaya adalah baki storan 29.99 peratus dan ke bawah, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal).
Berkaitan penyakit berkaitan cuaca panas, NADMA yang memetik Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 108 kes setakat hari ini berbanding 103 kes yang dilaporkan pada 24 Jun lepas dengan 25 kes diagnosis strok haba, kelesuan haba (76 kes) dan tujuh kes kejang haba.
NADMA memaklumkan daripada jumlah itu, Kedah menjadi negeri tertinggi iaitu sebanyak 19 kes, diikuti Terengganu (17), Johor dan Pahang, masing-masing 14, Perak (11), Negeri Sembilan (sembilan), Selangor (lapan), Sabah (enam), Kelantan (empat), Kuala Lumpur (tiga), Perlis (dua) dan satu kes di Pulau Pinang.
Pecahan kes mengikut umur pula melibatkan sebanyak 83 individu dewasa, 20 remaja, tiga kanak-kanak dan dua warga emas dan kes kematian akibat strok haba kekal lima, setakat ini.
Selain itu, NADMA memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan terhadap lebih 652 kawasan titik panas kebakaran di seluruh negara susulan fasa akhir Monsun Timur Laut.
Menurut laporan itu, Selangor, Johor dan Sarawak adalah antara negeri tertinggi yang direkodkan berlaku pengulangan insiden melibatkan kebakaran kategori lalang, kebun, hutan dan pelupusan sampah.
-- BERNAMA
#simpanan air mentah #Empangan Muda #Bukit Merah #paras bahaya #NADMA