Simpan SSPN terima deposit lebih RM15 bilion sejak 2004

Bernama
Oktober 29, 2023 17:05 MYT
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Norliza Abdul Rahim ketika sidang media selepas Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN 2023 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang dikendalikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menerima deposit sejumlah RM15.94 bilion dengan sebanyak 6.11 juta akaun setakat 30 Sept lepas.
Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata ini menunjukkan Simpan SSPN yang diperkenalkan sejak 2004, kekal sebagai produk berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa di negara ini.
"Malah, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Sempena BMS 2023 yang dianjurkan mulai 1 hingga 31 Okt ini, Norliza berkata PTPTN telah menerima deposit Simpan SSPN hampir RM220 juta setakat ini dan optimis pihaknya akan mencapai sasaran jumlah deposit iaitu RM220 juta yang ditetapkan menerusi program berkenaan.
Beliau berkata BMS merupakan program signature PTPTN yang dilaksanakan bermula pada 2018 sebagai antara usaha untuk menyebarluaskan manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat bersempena sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Okt setiap tahun.
"Ke arah menjadi peneraju tabung pendidikan tinggi negara, misi utama PTPTN ialah memperkasakan amalan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman serta memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian," katanya.
Sementara itu, seorang pendeposit Simpan SSPN, Jazi Jasmani, 45, yakin akaun simpanan pendidikan itu dapat memberikan manfaat kepada anaknya pada masa hadapan.
"Saya dan isteri buka akaun Simpan SSPN ini sejak dua tahun lepas bagi anak kami yang berusia 14 tahun untuk memastikan pembelajaran anak terjamin dan Simpan SSPN juga dilihat sebagai platform terbaik untuk menabung bagi tempoh jangka panjang," kata pekerja swasta itu.
Penjawat awam, Siti Badriah Abdul Hussin, 39, pula berkata Simpan SSPN mampu membantunya dalam pengurusan kewangan untuk pendidikan kedua-dua anaknya yang berusia 11 dan sembilan tahun.
-- BERNAMA
#Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional #SSPN #PTPTN #Norliza Abdul Rahim
;