Simpan jasad bayi: Mufti perlu proaktif keluar pandangan hukum - Na'im Mokhtar
Khalis Khadir
Disember 12, 2024 17:15 MYT
Disember 12, 2024 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan tular kes mayat bayi dimasukkan dalam peti sejuk selama dua minggu di Selangor, Mufti Selangor digesa untuk tampil mengeluarkan pandangan hukum syarak sebagai pencerahan kepada masyarakat.
Ringkasan AI
- Pandangan Hukum Syarak: Mufti Selangor digesa untuk mengeluarkan pandangan hukum syarak mengenai kes mayat bayi disimpan dalam peti sejuk selama dua minggu untuk memberi pencerahan kepada masyarakat.
- Penjelasan Mufti: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar, menyarankan agar mufti di negeri lain juga memberikan penjelasan untuk mengelakkan kekeliruan awam.
- Bantuan Keluarga: Skuad Jejak Asnaf MAIWP telah mengenal pasti keluarga bayi tersebut dan akan menghulurkan bantuan dengan segera.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Jabatan Mufti di negeri lain juga disaran memberikan penjelasan kerana kerana isu sedemikian menimbulkan kegusaran awam.
"Pandangan mengenai perkara itu mesti dikeluarkan dengan segera bagi mengelakkan rakyat berasa bingung dan terpinga-pinga, mufti perlu memberi kefahaman tentang isu terbabit.
"Misalnya jika berlaku di Selangor, mufti di negeri tersebut perlu mengeluarkan pandangan hukum tentang isu terbabit," katanya ketika ditemui selepas sidang media Bajet Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2025 di Menara MAIWP, di sini, pada Khamis.
Menurut Na’im, beliau juga telah meminta Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Luqman Abdullah untuk memberi penjelasan berkenaan hukum menyimpan dan membekukan mayat.
“Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat dan saya juga meminta Datuk Luqman untuk memberi pandangan beliau. Kita kena proaktif untuk membantu dan menyelesaikan apa sahaja perkara berbangkit dalam kalangan umat Islam.
“Meskipun kejadian itu berlaku di Selangor, tidak salah bagi seorang mufti untuk mengeluarkan kenyataan dengan segera. Masyarakat akan tertanya-tanya jika ia melibatkan persoalan hukum. Jadi dengan kuasa yang ada, tidak salah mufti berbuat demikian,” ujarnya.
Sebelum ini tular mengenai kes seorang mayat bayi lelaki berusia sehari yang meninggal dunia selepas dilahirkan, disimpan dalam peti sejuk sebuah hospital swasta selama dua minggu.
Dalam pada itu, Skuad Jejak Asnaf MAIWP telah mengenal pasti keluarga tersebut dan akan turun bagi menghulurkan bantuan dengan segera.