SIMP : 92.3 peratus nelayan telah berdaftar

Bernama
Mac 17, 2024 04:15 MYT
Farizan berkata sesi libat urus sedang giat dijalankan dengan nelayan yang layak, tetapi masih belum mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran SIMP 31 Mac nanti. - Foto fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Sebanyak 92.3 peratus nelayan Pulau Pinang Selatan yang layak, telah membuat pendaftaran Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI).
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd Datuk Seri Farizan Darus berkata sesi libat urus sedang giat dijalankan dengan nelayan yang layak, tetapi masih belum mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran SIMP 31 Mac nanti.
"Pendaftaran SIMP setakat ini dalam kalangan nelayan yang layak telah mencapai 92.3 peratus, antaranya termasuk 100 peratus pendaftaran dari unit Permatang Tepi Laut dan Gertak Sanggul, serta 92.3 peratus dari unit Teluk Tempoyak.
"Manakala unit-unit yang lain iaitu Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burong juga, secara amnya telah mencatatkan lebih daripada 92 peratus pendaftaran, kecuali unit Sungai Batu sebanyak 54.22 peratus
"Jabatan Perikanan juga telah mengesahkan bahawa 80 peratus iaitu 215 daripada 272 nelayan yang masih belum mendaftar untuk SIMP, tidak aktif atau tidak lagi layak," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Farizan berkata kadar pendaftaran yang tinggi itu, mencerminkan kepercayaan dan keyakinan komuniti nelayan terhadap komitmen kerajaan negeri dalam menepati manfaat yang dijanjikan, termasuk pembayaran ex gratia, penyediaan bot dan enjin baharu, bantuan pendidikan, bangsal baharu, latihan peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan perniagaan.
Sementara itu, beliau berkata dari segi kebimbangan mengenai dataran lumpur, penting untuk mengambil perhatian bahawa garis pantai selatan dari segi sejarah memnag banyak yang berlumpur disebabkan oleh dataran lumpur antara pasang surut.
Selain itu Farizan berkata sampah sarap sering dihanyutkan ke pantai selepas hujan lebat dan menghalang aktiviti nelayan semasa air surut dan bagi mengatasi isu yang telah kian lama wujud tersebut, pihak pemaju projek komited untuk menyediakan saluran navigasi selebar 250 meter, bagi membolehkan nelayan pergi ke laut tanpa mengira air pasang surut.
"Bertentangan dengan dakwaan pembuangan selut, aktiviti pengorekan belum dimulakan lagi dan hanya dijangka bermula pada tahun 2027, mengikut ketetapan yang digariskan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
"Sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan, pemantauan kualiti air juga termasuk pemantauan masa nyata 24 jam bagi jumlah pepejal terampai (TSS) dan pemasangan tirai kelodak untuk menghalang penyebaran sedimen," katanya.
Farizan berkata pemaju projek juga menghantar laporan kualiti air kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) setiap bulan sejak Oktober tahun lepas dan sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang pertanyaan daripada JAS mengenai laporan kualiti air yang dikemukakan dan itu menunjukkan bahawa laporan tersebut memuaskan serta menepati syarat kelulusan.
Beliau berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam menangani dakwaan penurunan hasil tangkapan akibat kerja penambakan sejak September tahun lepas, pegawai dari Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) telah digerakkan dengan kadar segera, untuk menjalankan sesi libat urus dengan nelayan secara langsung dan menjalankan tinjauan menyeluruh.
"Maklum balas yang dikumpul daripada nelayan aktif di situ secara seragamnya, menyangkal sebarang impak yang dapat dikenal pasti terhadap tangkapan mereka yang boleh dikaitkan dengan projek yang sedang berjalan.
"Ingin ditekankan di sini bahawa kerajaan negeri tidak menafikan hakikat bahawa penambakan boleh memberi kesan kepada ekosistem dan inilah sebabnya Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM) dan SIMP disediakan, untuk meminimakan serta menambah baik keadaan alam sekitar dan mata pencarian nelayan," katanya.
-- BERNAMA
#pulau pinang #nelayan #tinjauan menyeluruh #PEOM
;