Simi Abd Ghani dilantik Pengarah Bahagian Siasatan SPRM

Harits Asyraf Hasnan
Januari 3, 2017 19:39 MYT
Pelantikan Simi adalah untuk menggantikan Datuk Azam Baki yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM pada 4 Oktober tahun lalu. - Foto SPRM
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Simi Abd Ghani dilantik sebagai Pengarah Bahagian Siasatan SPRM baharu berkuat kuasa 3 Januari 2017.
Pelantikan Simi adalah untuk menggantikan Datuk Azam Baki yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM pada 4 Oktober tahun lalu, kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Simi menyertai SPRM pada 16 Jun 1983 sebagai Pegawai Siasatan di Ibu Pejabat Badan Pecegah Rasuah (BPR).
Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah BPR Sarawak pada 1 Disember 2004 sebelum memegang jawatan sebagai Pengarah BPR Pahang pada 16 Julai 2006.
Pada 1 Januari 2008, Simi memegang jawatan sebagai Pengarah BPR Johor dan dilantik sebagai Pengarah SPRM Selangor pada 2014 sebelum kembali menjadi Pengarah SPRM Johor pada 15 Mac 2016.
Azam menggantikan Datuk Seri Shukri Abdull yang bersara wajib secara rasmi 3 Oktober lalu.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang kini menyandang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.
Sebelum ini, Azam dan Shamshun masing-masing memangku jawatan berkenaan.
#Datuk Azam Baki #Datuk Simi Abd Ghani #Pengarah Bahagian Siasatan SPRM
;