Sime Darby Property sasar sifar bersih menjelang 2050

Astro Awani
November 27, 2023 20:15 MYT
Azmir Merican berkata SDP memulakan perjalanan kemampanannya pada awal 2000 dan sepanjang tempoh itu telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi merangka pelan penyahkarbonan yang komprehensif.
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (SDP) menyasarkan untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050, dengan memfokuskan kepada tiga langkah strategik.
Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Azmir Merican Azmi Merican berkata, langkah berkenaan adalah dengan mengoptimumkan aset untuk kecekapan tenaga, mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon, serta mengguna pakai alternatif hijau.
"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui peningkatan biodiversiti bandar, sebagai sebahagian daripada usaha ke arah kemampanan.
"Ini memerlukan anjakan asas dalam tingkah laku operasi kami sambil kami berusaha untuk mengurangkan pelepasan skop 1 dan skop 2 melalui kedua-dua strategi pengurangan jangka pendek dan jangka panjang.
"Dengan mempertingkatkan teknologi cekap tenaga, menggalakkan tingkah laku mementingkan tenaga dalam kalangan pekerja kami, dan beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui, kami menyasarkan untuk mencapai sasaran pengurangan kami untuk 2030 dan memastikan masa depan operasi dan rantaian bekalan kami yang mampan," katanya dalam majlis pengumuman pada Isnin.
Beliau berkata SDP memulakan perjalanan kemampanannya pada awal 2000 dan sepanjang tempoh itu telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi merangka pelan penyahkarbonan yang komprehensif.
"Proses ini memerlukan pertimbangan pelbagai faktor, termasuk penyelesaian teknologi yang berdaya maju untuk operasi kemampanan, penyesuaian dengan iklim tempatan dan peluang mitigasi, dasar yang diperlukan di peringkat domestik dan rangka kerja kawal selia bagi memacu perubahan tingkah laku dalam organisasi kami," katanya.
Oleh itu, Azmir Merican berkata, SDP bekerjasama dengan pemegang taruh bagi mendapatkan pemahaman yang mendalam keperluan Skop 3 dan telah memulakan pelan komprehensif bagi mencapai matlamat itu, yang memerlukan penilaian menyeluruh terhadap sisa pembuangan, perjalanan perniagaan dan perjalanan pekerja.
Azmir Merican berkata, kumpulan itu mempunyai rekod prestasi inisiatif kemampanan proaktif seperti penjejakan pendedahan berkaitan data sisa pembuangan sejak 2016 dan menggabungkan simen rendah karbon dalam projeknya.
#Sime Darby #Tenaga Boleh Diperbaharui #tenaga hijau #sifar bersih
;