Simbah cat merah, orang suruhan ah long didenda RM3,000

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 15, 2024 15:00 MYT
Tertuduh, Fo Siew How membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai. - Foto Astro AWANI
MANJUNG: Seorang lelaki yang menjadi orang suruhan ah long (peminjam wang) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyimbah cat merah di rumah keluarga peminjam, Januari lalu.
Tertuduh, Fo Siew How, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan, pembantu kedai runcit itu didakwa dengan niat telah melakukan khianat dengan menyimbah cat sehinga menyebabkan kerosakan pada pagar rumah, dinding pagar rumah, lantai halaman rumah dan pasu bunga milik seorang individu, yang menyebabkan kerugian RM2,000 di sebuah rumah di Kampung Baru, Ayer Tawar, pada jam 2.50 pagi, 24 Januari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau sebulan penjara, jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Shaqira Ibrahim.
Berdasarkan fakta kes, selain menyimbah cat merah, tertuduh turut meninggalkan dua keping nota amaran meminta anak pengadu membayar hutang dengan ah long.
Semakan polis dengan pihak Touch N Go dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh datang ke Manjung pada 24 Januari lalu dengan menaiki kereta jenis Proton Saga melalui Plaza Tol Lekir.

Tertuduh diberkas pihak polis dari Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada jam 1.40 tengah hari, 3 Ogos lalu.
#orang suruhan ah long #simbah cat merah #manjung #rumah keluarga peminjam
;