Sim tekad angkat martabat pekerja di Malaysia
Bernama
Disember 13, 2023 16:16 MYT
Disember 13, 2023 16:16 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia yang baharu Steven Sim Chee Keong bertekad untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Kita akan berdiri bersama pekerja," katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi di kementerian itu di sini hari ini.
Sim yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan, dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, mengambil tempat V. Sivakumar yang digugurkan.
Sim yang tiba di Kementerian Sumber Manusia (KSM) di sini kira-kira pukul 1.15 tengah hari disambut warga kementerian. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya.
Sim berkata nasib majikan dan pekerja terikat sama dan tidak bersifat egosentrik, sekiranya nasib pekerja tidak dibela maka ia memberi kesan kepada syarikat dari segi produktiviti.
"Dalam era struktur semula ekonomi dalam kerangka Malaysia Madani, fokusnya ialah pembangunan kemahiran, kebajikan pekerja dan produktiviti secara amnya," katanya.
Sim berkata beliau bersama Abdul Rahman dan warga KSM akan meneliti usaha yang dilakukan sebelum ini dan melihat kepada perancangan masa depan.
-- BERNAMA