Siling wad runtuh, 91 rumah rosak dibadai ribut
Adie Sufian Zulkefli
April 22, 2020 05:19 MYT
April 22, 2020 05:19 MYT
Hujan lebat berserta angin kencang lewat petang Rabu menyebabkan 91 rumah di sembilan kampung di Mukim Kupang dan Pulai, Baling, Kedah mengalami kerosakan.
Kejadian yang berlaku selama kira-kira 30 minit itu mengakibatkan beberapa rumah terbabit ditimpa pokok selain bumbung diterbangkan angin mengakibatkan harta benda rosak terkena air hujan.
Menurut pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, ketika kejadian, rata-rata penduduk berada di dalam kediaman mereka ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Sementara itu, di Langkawi, tiga pesakit yang berada di Hospital Sultanah Maliha (HSM) nyaris cedera apabila siling wad runtuh akibat dipukul ribut.
Pengarah HSM, Dr Mansor Ismail memaklumkan ketiga-tiga pesakit itu sempat diselamatkan jururawat yang bertugas ketika itu.
Katanya, wad lelaki itu menempatkan empat katil pesakit.
Jelas Dr Mansor, angin kuat dipercayai memasuki bangunan menerusi celah bumbung sebelum menekan siling sehingga runtuh.
Dalam kejadian itu, empat pokok di pekarangan hospital tumbang dipukul ribut.
Ribut yang melanda pulau bebas cukai itu turut menyebabkan beberapa rumah penduduk dan harta benda awam rosak.
#angin kencang
#Hospital Sultanah Maliha
#hujan lebat
#Langkawi
#Mohd Faizol Ab Aziz
#ribut
#siling wad runtuh