Siling Kompleks Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun runtuh
Bernama
Oktober 31, 2012 15:17 MYT
Oktober 31, 2012 15:17 MYT
Hampir 20 keping papan siling di bahagian hadapan Klinik Dermatologi di Kompleks Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh runtuh hari ini.
Kejadian di tingkat satu kompleks itu disedari oleh pengawal keselamatan bertugas pada kira-kira pukul 6 pagi. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilapor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kejadian berpunca apabila siling tidak mampu menampung beban sejumlah saluran paip PVC yang mengandungi kabel telefon dan ICT.
"Pihak hospital telah meminta siling itu dibaiki dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap petang ini. Kos akan ditanggung oleh pihak hospital. Pihak hospital juga akan memeriksa di bahagian lain bagi mengelak kejadian serupa berulang," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan kejadian.
Beliau berkata kompleks itu siap dibina pada 1994 dan telah 18 tahun menyediakan perkhidmatan perubatan pakar.
"Walaupun sudah 18 tahun usia kompleks ini, kejadian seperti ini memang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Seorang penyelenggara HRPB yang enggan dikenali berkata saluran paip PVC yang mengandungi kabel telefon, Internet dan ICT sepatutnya dipasang secara sistem 'trunking' pada ruang atas siling berkenaan.
Ini kerana sistem itu dapat menampung kabel yang banyak pada pemasangan yang besar atau pihak kontraktor yang memasang kemudahan itu perlu menggunakan 'bracket' bagi memastikan beban paip tidak ditampung sepenuhnya oleh siling berkenaan, katanya.
Beliau yang sedang memulakan kerja pembaikan siling itu, berkata saluran paip kabel telefon, Internet dan ICT itu dipasang oleh kontraktor luar yang dibayar oleh hospital tanpa melalui mereka sebagai pihak kontraktor penyelenggaraan rasmi hospital berkenaan.