Sikap tidak sopan cemar imej Islam, pendakwah - Zulkifli
Fauzi Suhaimi
Disember 25, 2020 12:48 MYT
Disember 25, 2020 12:48 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengharapkan sinar tahun baharu 2021 yang akan disambut tidak lama lagi akan lebih bermakna tanpa konflik perilaku tidak sopan yang mencalar imej Islam termasuk golongan digelar pendakwah selebriti.
Beliau berkata, sikap atau tingkah laku sedemikian bukan sahaja memberi persepsi buruk kepada kelompok agama khususnya Islam, malah mencemarkan nama baik golongan tertentu.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati dirinya, memberitahu, semua pihak perlu menjaga maruah diri kerana kes seumpama itu mudah mendapat liputan media.
"Tolonglah jaga, termasuk diri saya. Saya tok sey (tidak mahu) dengar (ada lagi kes) pencabulan.
"Kalau ustaz dengan gambar-gambar sekali (dipaparkan)... Dua minit kita tahu dah siapa (pelakunya).
"Sebagai pendakwah, peliharalah imej dan maruah diri kita sebaiknya, kerana masyarakat akan menilai Islam melalui kita. Jangan sesekali iman kita ditenggelami arus populariti," katanya ketika berucap pada program Tausiyah bersama Pendakwah Selebriti di sini, semalam.
Dalam pada itu, sambil berseloroh, Zulkifli berkata, pihak tertentu seharusnya memilih untuk berpoligami berbanding melakukan perbuatan jenayah seksual seperti rogol atau mencabul.
"Macam saya cakap dalam nada gurau tadi, nikah dua, nikah tiga, nikah empat tak mengapa. Perkara itu lebih baik.
"Tapi cabul ini, Allah... Nak ulang perkataan itu pun tak sedap bunyinya," katanya.
Selain itu, Zulkifli berkata, pendakwah selebriti perlu saling menasihati.
"Kita perlu saling menasihati dan mengingati sesama Islam, jadi salah satu caranya adalah majlis seperti ini, di mana kita dapat berkumpul dan mendekatkan diri kita antara satu sama lain.
"Dengan itu, kita berharap sinar 2021, kita tak mahu lagi dengar isu sebegini, pendakwah ini ikutlah cara sebaiknya untuk menyelesaikan," katanya.
Sebelum ini, kecoh apabila peserta program realiti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 25, atau dikenali sebagai Dai' Syed dilaporkan ditahan ditahan pada 27 November lalu bagi membantu siasatan kes salah laku seks.
Pada 10 Disember lalu, Syed berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya, iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang pelajar wanita.
Dia turut berdepan pertuduhan merogol seorang wanita di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
#Islam
#rogol
#pelajar
#pendakwah
#Imej Islam
#Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri
#Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful
#poligami
#kawin