Sikap tidak peduli masyarakat punca pencemaran Sungai Gersik
Bernama
Mei 24, 2022 06:15 MYT
Mei 24, 2022 06:15 MYT
LABUAN: Sikap tidak peduli masyarakat membuang sampah adalah punca utama pencemaran Sungai Gersik di sini.
Pemangku ketua pegawai eksekutif Labuan Corporation Rithuan Ismail berkata sungai itu telah diisytiharkan sebagai sungai dipulihara oleh pihak berkuasa tempatan.
"Kami telah menjalankan program pembersihan besar-besaran dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran, namun malangnya, sikap tidak peduli dalam kalangan orang ramai adalah punca utama pencemaran sungai tersebut.
"Kami optimistik bahawa sungai tersebut boleh dibersihkan dengan kaedah tradisional mengutip sampah menggunakan penahan sungai, namun perbuatan tidak bertanggungjawab membuang sisa ke dalam sungai mestilah segera dihentikan," katanya kepada Bernama pada Selasa.
Rithuan menggesa komuniti tempatan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, memandangkan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pihak yang didapati membuang sampah di kawasan awam di bawah Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Labuan (Mencegah Kekotoran) 1992.
"Sikap tidak endah komuniti yang menyerahkan tugas memelihara dan memulih sungai kepada pihak berkuasa semata-mata tidak membantu dalam mengubah keadaan sungai-sungai itu yang kini teruk tercemar.
"Setiap sampah yang dibuang akan dihanyutkan ke dalam sistem saliran sebelum ia terapung di kolam tadahan, kemudian anak sungai dan sungai dan akhir ke dalam laut," katanya.
Ahli perniagaan Roger Leong, 46, yang menjalankan perniagaan berdekatan sungai itu, berkata setiap hari beliau melalui sungai itu dengan motosikalnya dan melihat pemandangan sungai yang kotor dan penuh sampah, selain bau busuk mencucuk hidung.
"Saya berharap tindakan akan diambil oleh badan bukan kerajaan untuk membersihkan kekotoran di sungai itu... denda yang tinggi mestilah dikenakan terhadap mereka yang membuang sampah dan membuang air besar di dalam sungai," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Sungai Gersik dibersihkan dan dipagar bagi mengelak sisa dibuang ke dalam sungai.
-- BERNAMA