Sikap tidak peduli antara punca penyalahgunaan dadah sukar ditangani

Bernama
Ogos 6, 2019 05:22 MYT
Penagihan dadah menyebabkan berlakunya kes-kes jenayah seperti samun, curi dan bunuh yang memberi impak kepada kehancuran generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. - Gambar hiasan
Sikap tidak peduli masyarakat kepada tanggungjawab untuk melaporkan sebarang kegiatan penagihan dadah dikenal pasti sebagai antara punca penyalahgunaan dadah sukar ditangani.
Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata sikap enggan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda berdekatan dengan tempat tinggal mereka adalah tidak wajar.
"Janganlah malu untuk melaporkan penagihan dadah kerana ia dapat mengelak mereka terjebak dengan lebih teruk," katanya ketika berucap pada Bengkel Jelajah Kesedaran Penyalahgunaan Dadah Peringkat Daerah Kerian di sini pada Selasa.
Katanya penagihan dadah menyebabkan berlakunya kes-kes jenayah seperti samun, curi dan bunuh yang memberi impak kepada kehancuran generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.
"Setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka dan melapor segera kepada pihak berkuasa sekiranya ada yang terbabit dengan dadah.
"Kita ketepikan masalah dengan jiran sekiranya kita mempunyai tanggungjawab untuk membanteras dadah," katanya.
Seramai 100 murid dari beberapa sekolah di sini menyertai bengkel itu.
Hasnul Zulkarnain yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong berkata kesan penagihan dadah boleh merosakkan generasi muda dan sekali gus boleh melumpuhkan kehidupan sesebuah keluarga.
Beliau berkata mereka yang terjebak dengan dadah berisiko menghadapi lemah daya tahan dan kerosakan mental yang boleh mengancam institusi keluarga mereka.
"Sekiranya kita terus lalai, masalah dadah akan berterusan," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan para pelajar supaya menjadikan alam remaja dalam era moden dengan tidak terdedah dengan bahaya dadah.
-- BERNAMA
#exco Perak #Hasnul Zulkarnain Abd Munaim #lapor polis #Masyarakat #penagih dadah #penyalahgunaan dadah #polis
;