Sikap Siti Kasim membimbangkan banyak pihak - Mufti Perlis
Syakirah Zulkifly
Jun 8, 2018 12:02 MYT
Jun 8, 2018 12:02 MYT
Seorang peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim yang sering dilanda kontroversi mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurut Mohd Asri dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, wanita itu yang lebih dikenali dalam media sebagai Siti Kasim menimbulkan rasa kegelisahan serta membimbangkan banyak pihak atas cara dan kelakuannya.
Mohd Asri berkata, pihaknya dalam perancangan mengaturkan satu dialog terbuka bersama aktivis wanita itu.
“Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kasim. Sikap beliau membimbangkan banyak pihak.
“Atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah, pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kasim,” katanya.
Tambahnya, tarikh dan tempat akan dimaklumkan kemudian dan beliau juga berharap rancangannya itu dapat diteruskan.
“Tolong doakan agar dialog terbuka ini berjaya dilaksanakan nanti,” ujarnya lagi.
Siti Kasim yang juga aktivis hak asasi manusia, sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan membabitkan Islam sehingga mencetuskan kontroversi.