Sikap ambil mudah kemudahan OKU sukarkan rutin harian - Ras Adiba
Bernama
Mei 22, 2022 04:30 MYT
Mei 22, 2022 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sikap masyarakat yang tidak menitikberatkan kemudahan dan fasiliti bagi kegunaan orang kurang upaya (OKU) menyukarkan rutin harian golongan itu termasuk dalam menjalani sesi persekolahan.
Justeru, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berharap pihak berkaitan termasuk pengurusan sekolah lebih peka dalam menyediakan kemudahan yang mesra golongan itu.
"Kita perlu ada empati daripada pihak pengurusan sekolah. Kalau benda ini berlaku, beritahu saya supaya kita boleh ketengahkan kerana pendedahan dan sokongan untuk golongan OKU bukan sahaja untuk generasi muda bahkan untuk generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas kesukaran seorang pelajar Cerebral Palsy di sebuah sekolah di Kuala Selangor yang terpaksa didukung setiap hari kerana sekolah itu tiada kemudahan tram.
Ras Adiba, yang mewakili komuniti OKU di Dewan Negara, juga berkata adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk media untuk menguar-uarkan tentang penyediaan kemudahan dan fasiliti mesra OKU.
"Kami selalu buat disability quality training serta buat audit akses dan kami selalu bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan seperti Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur iaitu kami cuba bawa mereka untuk berada dalam sepatu kami dalam sehari supaya mereka tahu bagaimana rasanya bila tiada jurubahasa, tiada informasi mesra OKU dan sebagainya," kata beliau.
Terdahulu, Ras Adiba menyertai lawatan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong yang turun padang bagi meninjau kemudahan lif dan eskalator perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Ampang Park di sini, pada Ahad.
Mengulas kerosakan kemudahan itu di stesen LRT Ampang Park sehingga menyukarkan warga emas dan OKU, beliau menyeru golongan tersebut agar membuat semakan sebelum memulakan perjalanan.
"Sebelum ke mana-mana, hubungi talian Rapid Rail 03-7885 2585 bagi melancarkan pergerakan," katanya.
Wee pula memaklumkan kerosakan lif dan eskalator di stesen itu sudah diperbaiki dan kembali pulih serta beroperasi seperti biasa.
-- BERNAMA