Sik kini persis Cameron Highlands, cuaca sejuk hingga 18 darjah Celsius
Adie Sufian Zulkefli
Januari 18, 2023 17:14 MYT
Januari 18, 2023 17:14 MYT
SIK: Suhu sejuk yang melanda daerah Sik ketika ini membawa penduduk di situ seolah-olah berada di pusat peranginan popular, Cameron Highlands.
Suhu 18 hingga 19 darjah celcius di beberapa kawasan di daerah ini pagi ini menyebabkan penduduk terpaksa mengenakan pakaian tebal untuk mengurangkan rasa sejuk.
Mohamad Wahab, 37, yang menternak lembu berkata, aktiviti hariannya berubah tidak seperti sebelum ini sehinggakan dia terpaksa keluar lewat sedikit ke kandang lembu kerana tidak tahan dengan suhu dingin itu.
Dia yang tinggal di Kampung Lubuk Tualang berkata, terpaksa memakai baju tebal yang sebelum ini hanya dipakai ketika mengunjungi Cameron Higlands atau Genting Higlands.
Kerana perubahan cuaca juga, Mohammad berkata, anaknya ragu-ragu dan bertanya apakah diletakkan ais di dalam kolah air kerana kesejukan air sangat berbeza berbanding sebelum ini.
“Pada awalnya, saya juga hairan dengan soalan anak saya apakah saya meletakkan ais di dalam koleh sehinggalah saya sendiri menyentuh air memang terasa sangat sejuk.
“(Bahkan) kabus (menyebabkan) pokok bukit tidak Nampak (semuanya nampak) putih, lindung bukit. (Semasa keluar) hantar anak sekolah pun air embun kena muka… basah. Kalau kita naik (pandu) buka wiper (pengilap cermin) nak bagi hilang kabus di cermin buka aircond (penghawa dingin) kabus lambat nak hilang sebab sejuk sangat di luar,” kata Mohammad.
Seorang lagi penduduk, Karnasiah Abdul Rahman, 63, berkata dia terpaksa memakai pakaian lebih tebal berbanding sebelum ini untuk pergi menunaikan solat Subuh di masjid bersama suaminya menaiki motosikal.
Menurut suri rumah ini, dia akan mengenakan pakaian tebal sehingga pukul 11 pagi dan hanya selepas waktu itu, suhu akan kembali normal.
“Sejuk sungguh sampai menggigil, pergi masjid kena pakai sarung kaki, pakai seluar panjang pakai baju sejuk nak sembahyang… sejuk sungguh,” kata Karnasiah menggambarkan cuaca di Sik ketika ini.
Sementara itu, bagi pekerja di sebuah kebun timun di Kampung Charuk Damar, Rosnani Harun, 50, dia dapat merasakan perubahan cuaca lebih sejuk berbanding biasa apabila memulakan kerja di kebun berkenaan seawal 7 pagi.
Katanya, suasana pagi berkabus dan ada ketika dia memetik timun tidak tahan berlari masuk ke dalam pondok berdekatan untuk memanaskan badan seketika.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, cuaca sejuk di daerah itu adalah perkara biasa apabila negeri utara berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut (MTL).
Jelasnya, sepanjang tempoh ini kebiasaannya awan akan berkurangan di kawasan terbabit.
Muhammad Khalil berkata, kelazimannya juga bagi tempoh Januari hingga Mac, negeri di utara semenanjung akan menerima kurang taburan hujan.