Sijil vaksinasi palsu: ProtectHealth tidak kompromi, lakukan audit rawak
Hakim Rahman
Januari 19, 2022 12:33 MYT
Januari 19, 2022 12:33 MYT
KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) akan melakukan audit rawak ke atas Pengamal Perubatan Swasta (PPS) yang dilakukan secara berkala untuk memastikan mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Ia susulan laporan terdapat beberapa aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu oleh pengamal perubatan swasta di negeri Kelantan, Selangor, Terengganu Dan Johor.
Dalam kenyataannya, Protecthealth berkata audit rawak itu bagi memastikan pelaksanakan perkhidmatan berkualiti serta mengikut SOP ditetapkan oleh KKM dan ProtectHealth.
“Sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, ProtectHealth akan mengambil tindakan yang perlu dan mungkin menggantung PPS dan NGO Kesihatan daripada menjalankan vaksinasi dalam PICK.
“Pasukan audit perubatan kami juga menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh ProtectHealth,” katanya.
ProtectHealth juga akan menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh Protecthealth.
Jelasnya semua pengamal perubatan swasta (PPS) di bawah ProtectHealth adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen di bawah KKM dan perlu menjalani Latihan sebelum dibenarkan memberikan vaksinasi.
Mengulas lanjut ProtecHealth berkata vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO kesihatan mengikut kiraan janji temu dikeluarkan MySejahtera.
“Semua vaksinasi direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri penerima dan pemberi vaksin,” katanya.
Sehubungan itu ProtectHealth menggalakkan orang ramai untuk menjadi pemberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera sekiranya mereka mengesyaki sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.