Sijil vaksin palsu: Perintah tahanan reman doktor dilanjut

Nur Fazlizai Ali
Januari 11, 2022 11:38 MYT
Perintah reman ke atas suspek yang berusia 51 tahun itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang. - Astro AWANI
MARANG: Perintah tahanan reman ke atas seorang doktor yang disyaki menjalankan kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu kepada golongan antivaksin dilanjutkan selama dua hari.
Perintah reman ke atas suspek yang berusia 51 tahun itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang.
Mahkamah membenarkan lanjutan reman ke atas suspek sehingga Khamis ini.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Terdahulu polis Terengganu berjaya membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu yang didalangi seorang doktor di klinik swasta.
Ia susulan penahanan seorang doktor yang berusia 51 tahun pada Sabtu lalu.
BACA: Sijil vaksin palsu: Polis tahan 6 lagi individu, aktif cari pelanggan
BACA: Polis bongkar penjualan sijil vaksin dipercayai palsu
Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September tahun lalu selepas klinik berkenaan mendapat kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.
Sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,900 sijil vaksinasi COVID-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Kedah dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.
#reman #Doktor #sijil vaksin #lanjut
;