Sijil kemahiran perlu ditumpukan kepada bidang malar hijau - Yayasan Peneraju
Irfan Faruqi
Januari 2, 2024 09:00 MYT
Januari 2, 2024 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Program pensijilan kemahiran ketika ini perlu diberi tumpuan kepada pengkhususan yang bersifat malar hijau yang tidak terkesan secara langsung akibat kemajuan teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, kemahiran seperti pereka grafik yang sebelum ini popular, tidak lagi mampu mengekalkan penawaran peluang pekerjaan susulan kemajuan Kecerdasan Buatan (AI).
“Penekanan yang lebih mendalam untuk tingkat kemahiran di peringkat graduan. Ini kerana, kita sudah nyatakan bahawa bukan semua yang kemahiran diperlukan sekarang akan diperlukan nanti.
“Contohnya, pereka grafik yang sangat diperlukan oleh industri sebelum ini. Namun dengan adanya kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, peluang pekerjaan ini semakin tipis.
“Tetapi kerjaya yang malar hijau, seperti Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA) atau Akauntan Bertauliah akan sentiasa diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Sijil kemahiran perlu ditumpukan kepada bidang malar hijau - Yayasan Peneraju
Menurut Ibrahim, bakat profesional CFA sangat diperlukan oleh syarikat-syarikat pelaburan besar negara dan syarikat pelaburan kecil.
Setakat ini Yayasan Peneraju telah melahirkan lebih kurang 200 CFA, namun angka tersebut jauh lebih rendah berbanding Singapura yang mempunyai dua kali ganda bilangan CFA. Manakala Hong Kong mendaftarkan 10 kali ganda lebih ramai CFA di negara berkenaan.
Agenda AWANI: ANDALAN 2024 | Pembangunan bakat bumiputera