Sijil halal: Polis buka kertas siasatan ke atas Teresa Kok - KPN

Umavathi Ramayah
September 8, 2024 15:36 MYT
Razarudin memberitahu, setakat ini empat laporan dibuat ke atas Teresa Kok. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Ringkasan AI
  • Siasatan Polis: Polis membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal, di bawah Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Laporan Polis: Setakat ini, empat laporan telah dibuat terhadap Teresa Kok, yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP.
  • Cadangan Jakim: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Naim Mokhtar, menyatakan bahawa Jakim sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol memiliki sijil halal. Teresa Kok berpendapat cadangan ini akan menambah beban kepada perniagaan kecil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyentuh isu agama.
Seksyen itu katanya memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Teresa Kok juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengandungi kenyataan jelik," katanya di sini, pada Ahad.
Razarudin memberitahu, setakat ini empat laporan dibuat ke atas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu.
Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol memiliki sijil halal.
Sehari selepas itu, Teresa Kok dipetik berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain akan menambahkan kos pentadbiran.
#pensijilan halal #Teresa Kok #siasatan polis #Ketua Polis Negara #Razarudin Husain
;