Sijil halal: Komen Teresa pendapat peribadi - Mat Sabu

Madiha Abdullah
September 9, 2024 19:26 MYT
Kata Mohamad, pendapat Teresa itu tidak menggambarkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal. - Foto Astro AWANI
SERDANG: Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu menganggap komen berkenaan pensijilan halal oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini sebagai "pendapat peribadi".
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pendapat Teresa itu tidak menggambarkan kedudukan Malaysia yang telah lama bertapak sebagai peneraju global dalam industri halal.
"Itu pandangan peribadi beliau tetapi Malaysia terus menjadi hab halal global. Ia pandangan bersifat peribadi dan ia akan berlalu dengan masa," katanya ketika dalam sidang media selepas meninjau persiapan akhir MAHA 2024 di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada Isnin.
Katanya, pandangan peribadi seumpama itu akan sentiasa timbul, namun ia tidak akan mengubah komitmen Malaysia untuk terus menjadi hab halal terkemuka dunia.
Teresa sebelum ini dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Ahli Parlimen DAP itu mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
#Teresa Kok #sijil halal #Mohamad Sabu
;