Sijil halal boleh untuk Islam dan bukan Islam, bertepatan fitrah - Fauwaz Fadzil

Irfan Faruqi
September 10, 2024 22:03 MYT
Fauwaz berkata sijil halal memberi jaminan tahap kebersihan dan keselamatan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebarang masalah berkaitan sijil halal tidak sepatutnya timbul untuk perniagaan orang Islam dan bukan Islam memandangkan ia bertepatan dengan fitrah manusia.

Ringkasan AI
  • Jaminan Kebersihan dan Keselamatan: Sijil halal memastikan tahap kebersihan dan keselamatan produk dan perkhidmatan melalui audit berkala, sesuai dengan fitrah manusia yang mahukan makanan bersih. Standard Berlapis: Perniagaan besar yang berisiko tinggi perlu mematuhi standard ketat, manakala perniagaan kecil mungkin hanya perlu mengikuti kursus kebersihan. Tidak Mengubah Status Halal atau Haram: Sijil halal tidak mengubah status sesuatu produk menjadi halal atau haram, tetapi memberi jaminan bahawa produk tersebut memenuhi kriteria kebersihan dan keselamatan.

Konsultan Syariah Telaga Biru Bhd, Fauwaz Fadzil berkata, semua bersepakat mahukan penyediaan perkhidmatan dan makanan yang bersih, maka sijil halal bertindak sebagai jaminan kepada standard yang tinggi.
“Apabila ada sijil halal, maka akan ada audit. Pengauditan ini bagi menjamin kelestarian dan kepatuhan aspek syariah itu. Cetusan minda ini perlu dibincangkan dalam kerangka yang jelas, contohnya, restoran besar yang berisiko tinggi.
“Tetapi kalau kedai kecil-kecilan yang jual karipap, terlalu mikro di pasar malam, mungkin hanya perlu diwajibkan kursus kebersihan sahaja. Kita letakkan beberapa lapis standard kerana akhirnya yang kita mahukan ialah halalan toyyiban.
“Bagi saya tidak masalah dengan bukan Islam kerana halalan toyyiban ini bukan sahaja bertepatan dengan agama, bahkan bertepatan dengan akal dan fitrah. Semua fitrah bersepakat bahawa kita mahu makan makanan yang bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Sijil halal boleh untuk semua Islam, bukan Islam, bertepatan dengan fitrah – Fauwaz Fadzil
Fauwaz menjelaskan, sijil halal tidak mengubah status sesuatu produk atau perkhidmatan kepada halal atau haram sebaliknya, sijil tersebut memberi jaminan tahap kebersihan dan keselamatan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Hal ini ujarnya kerana pemegang sijil halal perlu melalui audit berkala bagi memastikan premis perniagaan patuh kepada kriteria yang ditetapkan oleh sijil tersebut.
"(Pensijilan halal) ini merupakan satu inovasi dalam bentuk perundangan untuk mengurangkan risiko-risiko yang menyebabkan kebarangkalian makanan itu tidak sihat. Namun perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci mengikut mizan-mizan yang khusus.
“Sijil halal ini tidak mengubah status sesuatu perkara menjadi halal atau haram. Ia memberi jaminan kepada masyarakat bahawa, apabila seseorang mengambil sijil halal, dia ada latihan dan kursus. Maka terjamin beberapa risiko yang kita bimbang - kebersihan, isu najis dan logistik,” jelasnya.
Polemik sijil halal bermula pada Khamis lalu, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol memiliki sijil halal.
Sehari selepas itu, Teresa Kok dipetik berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain akan menambahkan kos pentadbiran.
Teresa selesai memberi keterangan di Bukit Aman mengenai polemik sijil halal pada Selasa.
#Teresa Kok #syariah #JAKIM #Halal
;