Sijil akademik palsu: KPT bakal ambil tindakan tegas
Harits Asyraf Hasnan
Februari 6, 2017 18:31 MYT
Februari 6, 2017 18:31 MYT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil tindakan tegas kepada individu mahupun organisasi yang menjadi sindiket penjualan kelulusan akademik palsu dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata ketika ini pihaknya sedang menilai pendekatan yang perlu diambil dalam menangani sindiket tersebut.
"Kita sedang menilai cara pendekatan yang perlu diambil. Saya ingin memberi amaran keras bahawa kementerian tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan tegas.
"Kita sedang berbincang cara mana kita boleh ambil tindakan tegas. Kita tidak mahu penyelewengan ijazah kedoktoran (PhD) ini," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan wujud sindiket penjualan kelulusan akademik palsu dalam talian.
Akhbar itu mendedahkan kegiatan sindiket yang menawarkan ijazah pelbagai peringkat termasuk PhD dalam tempoh 24 jam selepas bayaran dibuat.
Menurut laporan tersebut, sindiket itu yang mengenakan bayaran antara RM11,000 hingga RM15,000 juga mendakwa boleh mendapatkan ijazah dari pelbagai negara di Asia Barat, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Greece, Turki dan China.
Idris turut berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu tersebut.
Sebelum ini juga, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menjelaskan kementeriannya bersedia mempertimbangkan tindakan menyekat laman web yang menjual kelulusan akademik palsu secara dalam talian.
Tegasnya, pihaknya juga sedia memberi kerjasama sepenuhnya bagi membanteras sindiket itu daripada terus berleluasa.