Sigar mampu jana pendapatan - Madius
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 13, 2020 21:09 MYT
September 13, 2020 21:09 MYT
Sigar atau tanjak mampu menjana pendapatan lumayan untuk penduduk luar bandar.
Ini kerana produk daripada kain tenunan yang mengangkat budaya etnik Dusun itu dijual pada harga RM600 setiap satu dan kos pembuatannya yang berpatutan.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata industri pembuatan tersebut mampu meningkatkan pendapatan penduduk khususnya di Kiulu.
"Kerajaan negeri sebelum ini telah melihat potensi besar dalam industri pembuatan sigar.
"Negeri kita yang kaya dengan budaya dan sumber hasil mampu menjana pendapatan rakyat setempat dengan kemampuan kita dalam menghasilkan sesuatu produk," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Program Khidmat Masyarakat Kursus Membuat Sigar di Kampung Rangalau Lama, Kiulu pada Ahad.
Program tersebut merupakan program khidmat masyarakat anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI).
Antara yang hadir adalah penuntut Pengajian Bahasa Kadazandusun.
Ini merupakan penganjuran kali ketiga program khidmat masyarakat tersebut yang bertujuan memartabatkan budaya, tradisi dan etnik Momogun di Kiulu.
Melalui tiga program tersebut, seramai hampir 800 penduduk kampung di Puhas, Kampung Tiong Gonodohon dan Kampung Rangalau Lama telah mendapat manfaat dari perkongsian ilmu pembuatan Sigar.
Untuk rekod, Pengajian Bahasa Kadazandusun di UPSI adalah hasil inisiatif Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada 2010 yang sebelum ini turut dikenali sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu
#Ahli Parlimen Tuaran
#Dusun
#jana pendapatan
#Kadazandusun
#Kiulu
#Momogun
#sigar
#tanjak
#UPSI
#Wilfred Madius Tangau