Sifat pejuang dan tegas Masing jadi tauladan kepada pemimpin pelapis
Azizah Alwi, Afiezul Samit
Oktober 31, 2021 11:29 MYT
Oktober 31, 2021 11:29 MYT
KUCHING: Pemergiaan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing disifatkan satu kehilangan yang besar buat Sarawak dan masyarakat Dayak secara keseluruhannya.
Bagi Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, rasa kehilangan itu dapat dirasai apabila mendiang seorang pemimpin tegas yang memperjuangkan pembangunan negeri.
Bukan itu sahaja, jelas Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, mendiang telah membawa perubahan kepada masyarakat Dayak dan rakyat di luar bandar.
"Fokus perkhidmatannya adalah untuk membawa dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Masyarakat di luar bandar seperti Kapit banyak menerima limpahan pembangunan.
"Usaha dan kesungguhan mendiang yang cemerlang telah menjadi contoh terbaik kepada pemimpin seangkatan juga pemimpin pelapis Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
[TERKINI] Belasungkawa | Tan Sri James Jemut meninggal dunia
Pandangan sama turut diberikan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Janang Bungsu yang menyifatkan pemergian Masing satu kehilangan besar buat parti itu.
Katanya, PRS akan terus berjuang membela nasib rakyat dan hak Sarawak dengan membawa bersama semangat mendiang.
"Mendiang merupakan pejuang sebenar, pemimpin yang baik dan mentor untuk kami di PRS. Walaupun tegas dalam pendiriannya tetapi mendiang mempunyai hati yang sangat baik," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Janang berkata, dia sempat bersama-sama mendiang sekitar jam 5 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.05 pagi di Pusat Rawatan Pakar Normah Sarawak, Kuching.
"Pagi tadi saya mendapat panggilan sekitar jam 5 pagi dan saya datang ke sini (Hospital Normah)... sempat melihat, bersama-sama dengan mendiang semasa dia menghembuskan nafas terakhir," ujarnya.
Terdahulu Masing dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 28 September sebelum ditidurkan apabila komplikasi semakin teruk.
Pada minggu lalu, beliau dipindahkan ke Pusat Rawatan Pakar Normah untuk rawatan lanjut.