“Sifat materialistik mengundang malapetaka dalam masyarakat” - Dr Maza
Astro Awani
Disember 14, 2024 10:30 MYT
Disember 14, 2024 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik sikap segelintir manusia masa kini yang lebih cenderung mengutamakan nilai materialistik termasuk dalam bidang perubatan.
Menurut Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza, jika materialistik ebih diutamakan berbanding nilai-nilai kemanusiaan, ia hanya akan mengundang malapetaka dalam kehidupan.
Justeru, Mohd Asri menggesa, krisis itu segera diatasi sebelum memberi kesan yang lebih buruk kepada masyarakat.
"Jadi apabila dia jadi doktor, dia berfikir macam mana nak buat keuntungan semata-mata.
"Kalau jadi pakar, dia fikir macam mana nak hasilkan wang untuk kehidupannya tanpa menekankan nilai-nilai kemanusiaan.
"Usahkan urusan kedoktoran, perniagaan atau urusan-urusan lain, hatta soal agama sekalipun jika dilihat tokoh-tokoh agama, jika pun tidak semua, kebanyakan yang jadi urusan mereka dengan orang ramai ialah bagaimana mengumpulkan dana," katanya dalam wawancara bersama AWANI Pagi pada Sabtu.
Dalam masa sama, Mohd Asri berpendapat, hal ini berlaku bukan kerana masyarakat tidak cakna terhadap nilai kemanusiaan.
Sebaliknya, jelas beliau, nilai kemanusiaan tersebut tidak lagi mendominasi kehidupan kerana segala-galanya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata.