Sidang pertama Parlimen Belia akan bermula tahun hadapan

Bernama
September 9, 2013 16:09 MYT
Persidangan pertama Parlimen Belia dijangka berlangsung pada Mac atau April tahun depan dengan perwakilan dipilih berdasarkan negeri, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata pihaknya kini sedang menjalankan pendaftaran pengundi warga Malaysia berusia antara 18 dan 40 tahun pada tahun semasa, dengan sasaran sekurang-kurangnya 200,000 pengundi di seluruh negara.
"Selepas kita capai sasaran itu, kita merancang untuk mencari dan mendaftar calon bagi Parlimen Belia hujung tahun ini sebelum persidangan boleh dimulakan tahun depan.
"Mereka yang terpilih ini akan mewakili negeri masing-masing dan bukan kawasan Parlimen," katanya.
Khairy bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu di Universiti Islam Antarabangsa Islam di sini hari ini. Beliau hadir sebagai menteri-mentor kepada universiti itu.
Parlimen Belia merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira dua tahun lepas.
Tujuan utama pelaksanaannya ialah melatih dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berkaliber dan berwibawa sejajar dengan keperluan negara pada masa ini dan akan datang.
Khairy menjelaskan pelaksanaan inisiatif itu tidak boleh dibuat mengikut 222 kawasan Parlimen sedia ada kerana ada di antaranya tidak mempunyai bilangan pemilih muda yang ramai.
Menurutnya, faktor lain yang menyebabkan penangguhan pelaksanaan Parlimen Belia berikutan majoriti perwakilan terdiri daripada 90 peratus beragama Islam dan jika seorang calon itu menang, ia mungkin tidak melambangkan demografi sebenar penduduk Malaysia.
Katanya, Parlimen Belia merupakan pentas untuk belia yang tidak berpersatuan membahas dan mengusulkan cadangan dari sudut pandangan orang muda kepada kerajaan.
Mengenai program hari ini, Khairy berkata setiap menteri atau menteri besar akan dilantik sebagai Menteri Mentor sesebuah universiti dalam usaha mewujudkan kebersamaan lebih erat antara kedua-dua pihak.
Tambahnya, pelbagai program sedang dirangka untuk merapatkan lagi hubungan dan menjayakan program itu seperti aktiviti kesukarelawan, wacana dan sukan.
#April #Khairy Jamaluddin #Menteri Sukan #Parlimen Belia
;