Sidang Parlimen peluang terbaik perbaiki kepincangan sistem kesihatan - Pakar

Madiha Abdullah
September 8, 2021 13:55 MYT
Masih belum terlewat untuk kerajaan dan pembuat dasar bertindak bagi melakukan 'reset' dalam sistem kesihatan, kata Dr Khor Swee Kheng. - Gambar fail/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 mendedahkan banyak kepincangan yang berlaku dalam sistem penjagaan kesihatan negara, namun ia masih boleh dibaik pulih.
Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng berpendapat, masih belum terlewat untuk kerajaan dan pembuat dasar bertindak bagi melakukan reset (pembetulan semula) dalam sistem kesihatan.
Mengambil contoh Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di United Kingdom (UK) yang memerlukan sehingga selepas Perang Dunia Kedua untuk ditubuhkan, Malaysia masih mampu melakukan sesuatu dengan syarat ada usaha ke arah itu.
"NHS di UK bukanlah sistem kesihatan yang sempurna, tetapi ia menjadi rujukan khususnya berkaitan perlindungan kesihatan yang menyeluruh.
"Jadi di Malaysia, saya gelarkan situasi kita sekarang sebagai NHS moment, di mana kita mula nampak masalah selepas pandemik dalam skala besar melanda.
"Kerajaan perlu ambil peluang ini, ini satu kelebihan sebenarnya kerana kita sudah nampak apa isunya, jadi kita perlu rebut peluang ini untuk memperbaikinya," katanya sesi webinar Wacana BERSIH bertajuk Sidang ke-4 Parlimen: Apakah Harapan Rakyat? pada Rabu.
Dr Khor turut menggariskan tiga perkara utama yang diharapkan menjadi agenda dalam Persidangan Parlimen yang akan datang, termasuk pembentangan dan penjelasan tentang fasa endemik.
"Pertama sekali, perlu beri penjelasan siapa ketua yang bertanggungjawab. Adakah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Pemulihan Negara (MPN) atau Kementerian Kesihatan?
"Ini masalah pentadbiran awam, bukan kesihatan awam. Kesihatan awam tak ada masalah, kita ramai pakar yang boleh memberi cadangan dan penyelesaian, tetapi kalau tak tahu siapa ketuanya, macam mana masalah nak selesai?
"Kedua, apa itu endemik? Sidang Parlimen kena bahaskan perkara ini kerana rakyat berhak tahu.
"Apakah angka yang boleh diterima untuk mengklasifikasikan pandemik sebagai endemik? Apa yang kita boleh tolak ansur dalam pembukaan semula ekonomi?
"Ketiga, ini agak mustahil tetapi saya anggap jika kerajaan mampu wujudkan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan, ini bonus.
"Suruhanjaya ini mesti kekal selama sekurang-kurangnya 10 tahun supaya ia boleh menjadi panduan dan membimbing kita semua dalam melakukan pembaharuan yang dikehendaki," tambah beliau.
Sistem kesihatan, tegasnya lagi, tidak boleh dipolitikkan namun ia satu pilihan politik dan berjalan atas landasan politik.
"Tidak boleh dipolitikkan, maksudnya ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menakutkan rakyat atau menggantung sidang Parlimen, contohnya.
"Tetapi dalam masa yang sama, ia berjalan seiring dan wujud dengan sistem politik.
"Kita ada doktor yang terbaik, jururawat, sains, data dan segalanya. Namun untuk melaksanakannya, pemimpin politik harus membuat pilihan politik yang tepat bagi membolehkan sistem berjalan dengan baik," katanya lagi.
Pandemik, tegas Dr Khor, seharusnya menyedarkan masyarakat bahawa sistem kesihatan yang baik bukan sahaja mempengaruhi perkhidmatan di hospital atau klinik, tetapi juga sistem ekonomi, sosial dan politik negara.
#COVID-19 #Malaysia #sistem kesihatan #endemik
;