Sidang Parlimen: Kerajaan perlu sikap terbuka, beri ruang semak dan imbang

Fareez Azman
Jun 16, 2021 14:19 MYT
Profesor Madya Muhammad Fathi Yusof berkata, prinsip semak dan imbang perlu diteruskan meskipun sidang Parlimen dilakukan secara atas talian atau hibrid. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil sikap terbuka dan memberi ruang kepada konsep semak dan imbang jika sidang Parlimen dibuka pada September atau Oktober depan.
Menurut Pensyarah dan Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Muhammad Fathi Yusof, prinsip itu perlu diteruskan meskipun sidang Parlimen dilakukan secara atas talian atau hibrid.
"Banyak cara mengatasi kelompongan yang berlaku akibat Parlimen tidak bersidang. Kita tahu Parlimen mempunyai beberapa fungsi, antaranya melaksanakan konsep semak dan imbang berteraskan prinsip tanggungjawab kerajaan.
"Prinsip ini penting dilaksanakan sama ada persidangan sama ada cara bersemuka, atas talian atau hibrid.
"Saya percaya jika Parlimen dirancang bersidang pada September dan Oktober, kerajaan seharusnya mempunyai sikap terbuka melaksanakan sesi yang boleh beri ruang konsep semak dan imbang," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.
Tambahnya, sesi pembentangan prestasi kementerian juga boleh dilaksanakan bagi memastikan rakyat mengetahui setiap usaha yang diambil kerajaan dalam membendung pandemik COVID-19.
"Contohnya kerajaan mungkin boleh laksanakan sesi pembentangan prestasi kementerian, kita ada 32 orang menteri sepatutnya tampil kepada rakyat dan orang awam juga melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh diadakan sesi atas talian atau bersemuka.
"Ini boleh dilakukan disertakan dengan soalan-soalan tambahan, seolah-olah Sidang Parlimen (seperti sebelum ini), ini boleh dilakukan dan tidak sukar dilaksanakan sesi pembentangan (oleh) menteri.
"Saya percaya jika boleh selesai satu hari dalam dua orang menteri (membentang) dalam masa empat minggu semua menteri dapat diselesaikan. Ini penting supaya konsep semak dan imbang dapat dilaksanakan," katanya lagi.
Mengulas lanjut, jelas Muhammad Fathi, pengumuman Perdana Menteri berkenaan Pelan Pemulihan Negara perlu disambut baik semua pihak.
Ia sekali gus membuktikan bahawa sistem demokrasi di negara ini berjalan dengan baik walaupun Parlimen ditangguhkan sejak Proklamasi Darurat dikuatkuasakan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa memaklumkan Sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut SOP ketat.
"Ini pendirian saya dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, setelah kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok," katanya ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara.
Bagaimanapun tegasnya, jangan ada pihak menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat ketika usaha kerajaan membendung pandemik COVID-19.
#Muhyiddin Yassin #Astro Awani #Perdana Menteri #Parlimen #pembangkang #undang-undang #Malaysia #COVID-19 #pandemik #Universiti Teknologi Malaysia #pensyarah #Sidang Parlimen #Parlimen hibrid #semak dan imbang #menteri #kerajaan
;