Sidang Parlimen: Gaji permulaan anggota polis dicadang RM2,000 - MP Pendang

Hasimi Muhamad
Oktober 16, 2023 18:55 MYT
Tangga gaji permulaan bagi anggota polis berpangkat konstabel pada masa ini adalah di bawah kadar paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan agar kerajaan menaikkan gaji permulaan anggota keselamatan termasuk polis kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
Membahaskan Belanjawan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, langkah tersebut sebagai salah satu usaha untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Jelas beliau, kerajaan juga perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) dan Indeks Keharmonian Perusahaan.
"Sebab itu kita bangkitkan beberapa kali mengenai kenaikan gaji termasuk gaji polis.
"Saya ingat gaji polis ini saya ingat paling kurang kena letak gaji permulaan RM2,000. Mereka kerja shif siang dan malam... ikut dipanggil dan kelulusan mereka pun dah tinggi sekarang, tak macam dulu. Paling kurang saya ingat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
"Jadi saya cadangkan paling kurang gaji permulaan paling RM2,000 tidak termasuk elaun-elaun yang lain terutamanya yang duduk di Kuala Lumpur," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Membahaskan lagi, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, peningkatan gaji dalam kalangan anggota keselamatan dapat mengekang sebarang aktiviti rasuah.
"Saya harap Perdana Menteri memberikan perhatian kepada pasukan keselamatan yang bekerja siang dan malam.
"Selepas itu dari segi integriti bila mereka tak cukup makanan atau gaji, mereka akan terlibat benda-benda macam ini (aktiviti rasuah). Ini satu cadangan untuk mengelakkan rasuah dalam negara," tambah beliau.
Pada 7 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain seperti dilapor media mendedahkan tangga gaji permulaan bagi anggota polis berpangkat konstabel pada masa ini adalah di bawah kadar paras pelaksanaan gaji minimum RM1,500 iaitu RM1,441.
Beliau berkata, disebabkan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Razarudin berkata, cadangan berkenaan selepas mengambil kira peningkatan kos sara hidup khususnya bagi anggota pangkat rendah.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu memaklumkan kerajaan ketika ini sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012.
Tambah Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan.
#Belanjawan 2024 #Anwar Ibrahim #Kenaikan gaji polis #Gaji minimum polis #Dewan Rakyat #Parlimen
;