Sidang Parlimen: Agong seloroh suruh 'jawab pantun tahun depan'

Astro Awani
September 13, 2021 19:42 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar wakil rakyat dan semua agensi kerajaan bertindak proaktif meninjau dan menyelami isu rakyat lebih dekat dalam usaha pemulihan negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 diakhiri dengan suasana ceria apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berseloroh kepada ahli dewan untuk menjawab pantun yang dititipkan tahun hadapan.
Dalam Sidang Dewan Rakyat pada Isnin itu Baginda sempat menitipkan tiga rangkap pantun kepada ahli yang hadir.
“Kalau sesiapa nak jawab, tunggu tahun depan,” titah Baginda sambil disambut dengan senyuman dan gelak tawa ahli dewan.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah sebelum perasmian mesyuarat berkenaan pada Isnin menitipkan tiga rangkap pantun:
"Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang,
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.
"Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan lupa rumput di bawah,
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati,
Martabatkan negara kembali bermaruah.
“Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli,
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi," Ungkap Baginda.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar wakil rakyat dan semua agensi kerajaan perlu bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu rakyat secara lebih dekat serta memantau pencapaian program diumumkan kerajaan.
BACA: Jangan pertaruhkan masa depan negara, rakyat - pesan Agong kepada ahli politik
BACA: Agong dedah terima ratusan surat rintihan daripada rakyat
Al-Sultan Abdullah bertitah, beberapa perkara perlu diberi tumpuan termasuk program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Skim Wilayah Bebas Berniaga dan Program Usahawan Anak Muda Kota.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah supaya semua pihak tidak lagi meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
#Sidang Parlimen #Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat
;