Sidang media pertama Tun Mahathir selepas beberapa kali dirawat di IJN

Astro Awani
Februari 23, 2022 20:27 MYT
Dr Mahathir dilihat masih boleh berjalan tanpa perlu dipimpin, malah berdiri lama ketika lagu dimainkan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Januari lepas sehinggalah awal Februari, berita bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali dipetik media namun ia hanya berkaitan beliau menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beberapa kali juga beliau menerima rawatan di sana sehingga timbul banyak khabar angin, desas-desus mengenai tahap kesihatan beliau.
Namun, mujur, anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir hampir setiap hari berkongsi kenyataan kepada media, memaklumkan keadaan terkini bapanya itu.
Sepanjang menerima rawatan, banyak doa dipanjatkan kepada beliau bahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meluangkan masa melawat Ahli Parlimen Langkawi itu.
Tanggal 5 Februari 2022, Dr Mahathir dibenarkan keluar daripada IJN, dibenarkan juga untuk pulang berehat di rumah selepas hampir sebulan menerima rawatan.
Keadaan beliau semakin pulih dan beberapa hari selepas itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dilihat melakukan aktiviti harian seperti biasa bahkan berbasikal juga.
Dari sudut politik, beliau tidak berdiam bahkan ada beberapa kenyataan dikeluarkan cuma ia bukanlah sidang media, hanya tulisan-tulisan menerusi blognya.
Namun, hari ini (Rabu, 23 Disember 2022), Dr Mahathir buat pertama kalinya mengadakan sidang media, hampir dua bulan selepas kali pertama menerima rawatan di IJN pada Januari lepas.
Sama juga seperti sebelum ini, beliau dilihat masih boleh berjalan tanpa perlu dipimpin, malah berdiri lama ketika lagu dimainkan.
“Saya sudah pulih, terkejut juga kerana saya tidak fikir saya akan pulih tapi saya pulih juga. Seperti anda lihat, saya masih boleh bercakap dan berfikir kerana saya sudah pulih tapi sudah pasti pemulihan tidaklah 100 peratus.
“Doktor nasihatkan saya perlu berhati-hati kerana saya sudah 97 tahun dan kalau orang tua dijangkiti COVID-19, ia adalah bahaya buat mereka. Doktor kata saya perlu lebih berhati-hati.
BACA: PRN Johor: Tun Mahathir batal hasrat bantu kempen Pejuang, ikut nasihat doktor
“Pergi ke Johor, saya nak pergi Johor tapi saya tak boleh pergi sebab doktor tidak boleh beri jaminan yang saya tidak akan dijangkiti dan keadaan tidak teruk.
“Ia adalah disebabkan usia saya dan saya baru pulih daripada serangan yang serius,” katanya ketika ditanya mengenai tahap kesihatan beliau pada waktu ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanahair di Putrajaya pada Rabu yang turut dihadiri anaknya yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Melihat kepada gaya percakapannya - yang dipenuhi analogi dan sindiran - pastinya akan ada lagi tulisan di blog dan sidang media dari negarawan itu.
Kenyataan kontroversi? Panas? Mengundang persepsi? Ya, pasti itulah yang akan disajikan kepada kita selepas ini.
#Mahathir Mohamad #IJN #terima rawatan #ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #Mukhriz Mahathir #khabar angin
;