Sidang media MPN Selangor kecoh
Wan Syamsul Amly
Ogos 6, 2014 15:01 MYT
Ogos 6, 2014 15:01 MYT
Sidang media untuk mengumumkan pendirian Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor kecoh apabila satu kenyataan media berasingan MPN bercanggah dengan isi sidang media yang diberi Ketua Cabang PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dikeluarkan.
Kenyataan itu didakwa meminta nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dicadangkan bersama nama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk dicalonkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
Bagaimanapun, sidang media yang diberi Zuraida menyatakan sokongan kepada Wan Azizah.
Kenyataan bercanggah itu menyebabkan Zuraida meminta mengguna kenyataan medianya yang diberi selepas kenyataan media yang didakwa palsu diedar.
"Siapa beri kenyataan itu? Siapa yang edar tolong ke depan. Siapa nampak orang yang edarkan kenyataan media tadi. Gunakan kenyataan sidang media saya sahaja, abaikan yang baru diedar itu," katanya.
Kenyataan pimpinan tertinggi KEADILAN itu menyatakan perlu mempertimbangkan satu lagi nama iaitu ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain hanya Wan Azizah yang dicadang sebelum ini.
Menurut kenyataan MPN Selangor, mereka menghormati sokongan beberapa pimpinan kepada Wan Azizah namun harus mempertimbangkan Azmin berdasarkan sokongan yang diterimanya.
Kenyataan itu menambah, Azmin mempunyai kelayakan yang wajar dipertimbangkan selain pengalamannya yang luas dalam pentadbiran Kerajaan di peringkat Persekutuan selama 15 tahun bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.
Jelas kenyataan itu lagi, Azmin juga merupakan ADUN yang paling berpengalaman dalam KEADILAN selain ketokohan dan pengalamannya selaku Pengerusi MPN Selangor, Pengarah Pilihan Raya Pusat dan Timbalan Presiden KEADILAN selama dua penggal melayakkan namanya diangkat bersama Wan Azizah untuk dibincangkan dalam Majlis Pimpinan PR,
Bagaimanapun kenyataan Zuraida menyatakan akur dengan keputusan sebulat suara MPP untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon MB.
Zuraida turut meminta semua anggota KEADILAN menyokong Wan Azizah sebagai calon MB.
Dalam pada itu, Zuraida tidak menafikan pengedaraan dua kenyataan media berbeza itu berunsur sabotaj kepada parti.