Sidang media khas KPM mengenai banjir, persiapan SPM pagi ini
Astro Awani
Disember 1, 2024 10:10 MYT
Disember 1, 2024 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan sidang media khas berhubung pengurusan bencana banjir dan persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Sidang tersebut akan dikendalikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan diadakan pada jam 10.45 pagi di Putrajaya.
Astro AWANI akan membawakan perkembangan Sidang Media Khas itu menerusi semua platform kami di saluran 501, astroawani.com dan media sosial Astro AWANI.
Pada Sabtu, ratusan calon SPM di negeri terjejas dilaporkan menghadapi kesukaran bagi menduduki peperiksaan itu yang bermula Isnin ini susulan banjir yang melanda kawasan mereka.
Malah, terdapat calon SPM yang terkandas dan sukar untuk hadir ke dewan peperiksaan di sekolah.
Pada masa sama, sekolah-sekolah di kawasan terjejas banjir juga turut dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir.
Fadhlina sebelum ini dilaporkan berkata, calon SPM yang sekolah mereka terjejas akibat banjir boleh mendudukinya di mana-mana pusat peperiksaan yang ditetapkan.
Beliau berkata peperiksaan tetap berjalan seperti biasa termasuk di negeri terjejas bencana itu bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan calon SPM.