Sidang media dalam talian, parti politik sambut baik cadangan NUJ

Ridauddin Daud
Januari 16, 2021 18:18 MYT
NUJ mencadangkan ahli politik mengadakan sidang media secara dalam talian berbanding secara bersemuka seperti yang diamalkan sekarang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Parti politik menyambut baik cadangan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang mencadangkan ahli politik mengadakan sidang media secara dalam talian berbanding secara bersemuka seperti yang diamalkan sekarang.
Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, cadangan NUJ adalah baik kerana biasanya agak sukar untuk penganjur dan media mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap sidang media.
Menurutnya, sekiranya tiada lagi sidang media secara bersemuka, Pas sudah mempunyai beberapa strategi untuk memastikan maklumat tetap sampai kepada wartawan.
“Pertamanya kita berikan pengumuman terlebih dahulu melalui capaian-capaian yang kita ada kepada media. Kita akan maklumkan kepada semua media, kita akan keluarkan kenyataan dan maklumkan siapa akan keluarkan kenyataan.
“Biasanya yang kita buat sebelum ini, kita akan fakskan atau emelkan kenyataan kepada rakan-rakan media. Saya rasa kita boleh perkukuhkan lagi kaedah itu,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, sekiranya ada sidang media secara bersemuka, SOP lebih ketat mungkin boleh dipraktikkan selepas ini.
Pendapat sama turut disuarakan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli.
Menurutnya, langkah itu juga sebenarnya dapat mengelak jangkitan kepada media terutamanya melibatkan menteri dan ahli politik.
“Kalau kita jaga SOP, kekalkan jarak, saya rasa itu sudah mencukupi dan saya pun tidak pasti tapi saya berpandangan, wartawan lebih suka ‘face to face’.
“Melainkan kalau mereka minta (sidang media dalam talian), kita kenalah hormati permintaan NUJ itu.
“Cuma interaksinya, maklumlah kalau melalui dalam talian, kita ada sedikit kekurangan dari segi face to face dan body language,” ujarnya.
Begitupun, katanya, pihaknya tiada masalah sekiranya sidang media dilakukan secara dalam talian kerana komunikasi dua hala juga boleh berlaku menggunakan cara tersebut.
#NUJ #Sidang media #COVID-19 #SOP #KKM #MKN #PAS #Parti Amanah Negara #Amanah #politik #menteri #operasi #Astro Awani
;